USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MOOC PENYUSUAN SUSU IBU USM MENANG ANUGERAH INOVASI PENYUSUAN SUSU IBU PERINGKAT KEBANGSAAN

USM PULAU PINANG, 7 Ogos 2021 -- Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah berjaya memenangi Anugerah Inovasi Penyusuan Susu Ibu sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara dalam talian.

Melalui program bertajuk Projek Massive Open Online Learning (MOOC): Penyusuan Susu Ibu: Pembelajaran Kendiri, USM Kubang Kerian Kelantan telah berjaya memenangi anugerah ini bersama 2 lagi penerima lain iaitu Projek Kad My Radha’ah dari Jabatan Agama Islam Selangor dan Projek MOMREA Kiosk Laktasi dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Penyusuan_Susu_Ibu.jpg

Program Projek Massive Open Online Learning (MOOC): Penyusuan Susu Ibu ini ialah pembelajaran kendiri secara dalam talian (online self-learning), yang mana pendaftaran adalah percuma dan e-sijil akan diberikan kepada semua yang berjaya menamatkan program ini.

Program ini mengandungi bahan pembelajaran iaitu kit pendidikan penyusuan susu ibu yang terdiri daripada video, imej interaktif, kuiz dan aktiviti; serta mempunyai 13 tajuk asas penyusuan susu ibu seperti yang disarankan oleh KKM dan WHO kepada ibu hamil atau menyusu.

Di samping itu, sasaran utama program ini adalah kepada wanita hamil, wanita yang menyusui bayi, pasangan dan ahli keluarga mereka, kakitangan kesihatan, ahli kumpulan penyokong penyusuan susu ibu, konsultan, kaunselor penyusuan serta yang terlibat dalam penjagaan bayi dan kanak-kanak.

Dari segi sumbangannya kepada persekitaran, komuniti dan negara, program ini sehingga kini telah memanfaatkan lebih 18 ribu pelajar.  

Anugerah ini diadakan bagi memberi penghargaan dan meraikan usaha individu dan kumpulan yang terlibat mempromosi, melindungi dan menggalakkan penyusuan di Malaysia dan menjadi inspirasi kepada inovasi dan inisiatif seterusnya dalam usaha menggalakkan amalan penyusuan susu ibu di Malaysia.

Tema sambutan tahun ini ialah “Protect Breastfeeding: A Shared Responsibility”/ Lindungi Penyusuan Susu Ibu: Tanggungjawab Bersama.

Majlis dalam talian ini disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba pada 4 Ogos 2021.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Infografik: Ebrahim Abdul Manan 

  • Created on .
  • Hits: 557

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024