USM LANCAR TARIF HOSPITAL USM GUNA SISTEM GABUNGAN KES
KOTA BHARU, 9 Jun - Universiti Sains Malaysia (USM) secara rasmi melancarkan tarif Hospital USM yang menggunakan sistem gabungan kes. Pelancarannya dibuat oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman di Bilik Persidangan Pusat Pengajian Sains Perubatan di sini.
Hadir sama ialah Felo Penyelidik Kanan dan Pemangku Pengarah United Nations University - International Institute of Global Health (UNU-IIGH) Profesor Dato' Dr. Syed Mohamed Al Juned, Pengarah Hospital USM Dato' Dr. Zaidun Kamari, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian Profesor Madya Adam Hussein, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Profesor Madya Dr. Rosminah Mohamad sebagai ketua projek serta beberapa orang pegawai kanan Universiti dan UNU - IIGH.
Dalam ucapannya, Naib Canselor USM berkata, kesejahteraan kesihatan wajar diberikan perhatian serta menjadi agenda kesejahteraan sosial Negara yang utama. Kerana itu, USM sentiasa memberikan perhatian utama kepada usaha ini sama ada melalui penawaran pengajian mahu pun perkhidmatan perubatan di Hospital USM sebagai sebuah hospital pengajaran dan menjadi rujukan utama di pantai timur malah dari seluruh negara.
"Usaha untuk menggunakan tarif hospital yang menggunakan perisian sistem gabungan kes telah dibuat melalui kerjasama dengan UNU-IIGH sejak tahun 2011 dan kemudiannya secara rasmi melalui persefahaman yang ditandatangani pada tahun 2012," kata Omar.
Tarif Hospital USM adalah eksklusif untuk hospital ini yang memudahkan pihak pengurusan hospital untuk menilai serta menguruskan hal ehwal pengurusan dan kewangan hospital untuk mencapai objektif perlaksanaan Sistem Gabungan Kes untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan perkhidmatan jagaan kesihatan yang diberikan di hospital ini.
Pihak pengurusan hospital juga boleh meletakkan tanda aras kualiti dan pengukuran penggunaan sumber untuk Hospital USM yang mampu meningkatkan lagi keberkesanan dan kualiti sistem perkhidmatan jagaan kesihatan di Hospital USM.
"Ini dijangka dapat menjimatkan kos keseluruhan pengurusan pesakit sebanyak 10% setahun yang boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti kesejahteraan pesakit keseluruhannya," tambah Naib Canselor.
Perlaksanaan sistem ini secara langsung menyediakan dokumentasi lengkap sebagai memenuhi keperluan akreditasi di Hospital USM dan diharapkan perkhidmatan jagaan kesihatan yang diberikan oleh HUSM akan lebih berkualiti, efisyen, harmoni dan mampu dicapai oleh seluruh masyarakat.
Jelasnya lagi, dalam erti kata lain, seseorang pegawai perubatan kini mempunyai protokol dan proses kerja yang dapat membantu pesakit untuk jangkaan masa berada di hospital, dadah yang digunakan mengikut jadual, perancangan perawatan yang lebih tepat dan dilakukan dengan lebih tersusun untuk diteliti dan pemantauan pihak pengurusan hospital.
Kejayaan melancarkan tarif ini adalah hasil daripada usaha pengkodan yang menggunakan kira-kira 93, 000 kes rawatan pesakit pada tahun 2010, 2011, 2012 berdasarkan data-data sejarah yang berjaya mengkelaskan 789 kumpulan rawatan atau penyakit. Secara purata terdapat 30,000 kes setahun di Hospital USM melalui 23 jabatan dan kliniknya.
Yang menariknya ialah kejayaan kumpulan kerja pelaksanaan tarif di Hospital USM ini berjaya mengurangkan kekhilafan ( error) hanya sebanyak 10% dalam pengkodan ini berbanding dengan 30% ketika mula diperkenalkan di sebuah hospital pengajaran lain pada tahun 2002.
Sementara itu Profesor Dato' Syed Mohamed Al Juned menyifatkan kejayaan ini amat bermakna dan pihaknya berpuas hati dengan pengkelasan kos berasaskan piawaian yang ditetapkan dengan kecekapan dan keberkesanan kos yang dicapai.
"Yang penting penjimatan kos bukan dari segi pengurusan pesakit semata-mata tetapi juga amalan-amalan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan yang dilakukan," katanya lagi.
Di Malaysia, selain dari Hospital USM, hanya Hospital UKM yang melaksanakan penggunakan sistem gabungan kes ini walaupun ia telah pun digunakan secara meluas di 18 buah negara termasuk Uruguay dan Chile manakala di Indonesia kira-kira 1,262 buah hospital menggunakannya sejak 2006.
Kejayaan ini membolehkan asas-asas kos, bagaimana dan berapa lama pesakit dirawat yang berasaskan klasifikasi jenis-jenis penyakit dibuat yang menggunakan Sistem Gabungan Kes (Case-Mix System) iaitu sistem pengkelasan pesakit berdasarkan episod rawatan yang diterima oleh pesakit.
Menurut Ketua Projek, Dr. Rosminah Mohamad, konsep sistem ini adalah untuk memudahkan proses pendiagnosan pesakit yang umum mengetahui ianya kompleks dengan menggabungkan pesakit-pesakit tersebut kepada satu kategori diagnosis yang sama serta bermakna secara klinikal, penggunaan sumber yang sama dalam rawatan yang diberikan.
Pengumpulan diagnosis ini dilakukan dengan menggunakan software berinovasi tinggi: UNU-CBG Grouper yang mengkategorikan keadaan pesakit mengikut jenis penyakit (Case-Based Group [CBG]).
Proses ini mengambil kira variabel penting termasuklah diagnosis utama, kod prosedur klinikal, jantina, usia dan juga kewujudan komplikasi dan kompleksiti pesakit. Setiap CBG yang dihasilkan dianggap sama dari kedua-dua sudut keperluan sumber klinikal dan ekonomi.
Oleh itu, purata sumber yang digunakan untuk setiap kumpulan diagnosis dapat dikenalpasti dengan tepat.
Tambah Rosminah lagi, manfaat yang diperolehi oleh pihak pengurusan hospital adalah antaranya penambahbaikan dalam perkhidmatan jagaan kesihatan di hospital, memantapkan lagi kualiti jagaan kesihatan di hospital dan juga penambahbaikan Sistem Pengurusan Kesihatan di hospital.
Dengan perlaksanaan Sistem Gabungan Kes di Hospital USM, agihan sumber dihitung berdasarkan kos purata rawatan yang diberikan untuk setiap kumpulan CBGs. Kos untuk pesakit dalam di setiap jabatan di hospital dihitung berdasarkan pemberat kos untuk setiap kes pesakit dengan keadaan yang spesifik yang dicerap di jabatan tersebut dan diklasifikasikan berdasarkan diagnosis secara klinikal.
Menariknya, sistem ini memperuntukkan satu CBG secara eksklusif untuk seorang pesakit setiap episod rawatan. UNU-CBG ini juga dikenali sebagai Malaysian DRG (MY-DRG) di Malaysia.
Kompleksiti yang terdapat dalam sistem ini terhasil daripada set kategori pesakit (CBG) yang mempunyai persamaan kriteria seperti tahap keterukan penyakit, risiko mortaliti, prognosis, tahap kepayahan rawatan, keperluan untuk intervensi dan kadar sumber yang digunakan untuk merawat penyakit tertentu.
"Setiap MY-DRG mempunyai kos tersendiri yang merangkumi kesemua perkhidmatan yang terlibat dalam perawatan kes tersebut yang menjadi kos sebenar dalam spektrum rawatan yang diberikan untuk setiap kes penyakit di Hospital USM dan ianya dikenali sebagai Tarif MY-DRG atau Tarif Hospital USM," kata Rosminah.
- Created on .
- Hits: 1929