USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KE ARAH PENDIGITALAN SEPENUHNYA MENJELANG TAHUN 2022

USM PULAU PINANG, 7 Ogos 2021 – Selaras dengan aspirasi kerajaan melalui pelan MyDIGITAL bagi mengubah Malaysia ke arah negara yang berpacukan digital, Universiti Sains Malaysia (USM) terus mendokong usaha kerajaan dengan memperlihatkan pendigitalan sepenuhnya segala pengurusan sumber maklumat dan proses kerja menjelang tahun 2022.

Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat USM-Digital, Yusoff Abdullah berkata, selaras dengan inisiatif kerajaan, USM sememangnya telah melangkah lebih awal ke alam digital, yang mana sebahagian proses-proses kerja di Pusat Tanggungjawab (PTJ) didigitalkan menggunakan sistem digital yang dibangunkan oleh Pusat Pengetahuan Komunikasi Teknologi (PPKT) mahupun PTJ masing-masing.

WhatsApp_Image_2021-08-08_at_01.57.12.jpeg

Usaha ini berfokuskan pengumpulan dan penyelarasan data maklumat staf dan pelajar pada satu saluran bagi memudahkan pencapaian maklumat dan analisis data.

Menurut Yusoff, pejabat USM-Digital yang diletakkan di bawah Jabatan Pendaftar berkuatkuasa 19 April 2021 lalu, berperanan untuk meletakkan USM sebagai antara IPTA terawal ke arah pendigitalan sepenuhnya setiap aspek pengurusan proses kerja dan pelajar menjelang tahun 2022.

Pejabat USM-Digital diharapkan dapat mencapai objektif yang ditetapkan iaitu memperkasakan pengurusan digital dalam usaha menambah baik penggunaan sistem sedia ada di Universiti dalam setiap aspek,” kata beliau.

Jelas beliau lagi, usaha pendigitalan USM ini merangkumi pelan dan strategi untuk meningkatkan literasi digital, menjadikan pengurusan sistem lebih mudah dan teratur serta dapat memberikan akses sistem kepada semua pusat, pusat pengajian dan juga pelajar.

“Ini juga merupakan salah satu langkah untuk memperkasakan perkhidmatan penyimpanan awan (cloud) dalam universiti selain membolehkan pengumpulan dan pengurusan data secara berkesan dan lancar, sekaligus membantu mengurangkan kos pengurusan teknologi maklumat untuk jangka masa panjang,” kata beliau ketika menyampaikan taklimat bertajuk ‘Pendigitalan Proses Kerja” secara dalam talian sempena Hari Bersama Pelanggan Jabatan Pendaftar yang berlangsung pada 5 Ogos 2021.

Kata Yusoff, pendigitalan USM sepenuhnya merangkumi perancangan dan pemantauan proses pendigitalan dalam usaha memperluas penyampaian maklumat dan mengintegrasikan sistem digital yang sedia ada bagi meningkatkan ketepatan data, produktiviti kerja dan capaian sasaran organisasi yang ditetapkan.

Selain itu, jelas beliau lagi, mulai sidang akademik 2021/2022, Pendaftar USM, Dr. Musa Ali telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada sistem yang berkaitan dengan pelajar USM dan ini sudah semestinya melibatkan sistem pengurusan pelajar atau SMUP.

“Bermulanya tahun 2022, semua data pelajar yang melibatkan butiran peribadi, pengajian, penginapan, yuran, tatatertib aktiviti dan sebagainya perlu dipaparkan di dalam ‘Campus online’ pelajar berkenaan.

“Bak kata semua data pelajar berkenaan berada di hujung jari mereka melalui peranti-peranti elektronik dan sebahagian besar urusan boleh dilaksanakan secara dalam talian.

“Kesemua maklumat ini adalah bersifat ‘real time data’ berdasarkan input data ke dalam sistem sedia ada, contohnya bilangan pelajar mengikut kampus, mengikut program, jantina, negara bagi pelajar antarabangsa, pola kemasukan pelajar, pola enrolmen pelajar, penginapan pelajar dan sebagainya,” kata beliau.

Tambah Yusoff lagi, dashboard yang dibangunkan oleh USM kini menyediakan maklumat pelajar yang cepat, tepat dan terkini.

“Dashboard ini menyediakan maklumat pelajar dalam merencanakan perancangan strategik, membantu pemantauan status dan perkembangan berkaitan dengan pelajar, menyediakan maklumat yang efisien secara grafik, ringkas dan menarik, dan yang penting penggunaan teknologi yang menjimatkan kos dan masa,” kata beliau.

Maklumat lanjut berkenaan Pejabat USM-Digital, boleh menghubungi Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat USM-Digital, Yusoff Abdullah di e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau Nur Farahana Mohd Amin, di e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .

WhatsApp_Image_2021-08-08_at_01.57.48.jpeg

Teks & Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 432

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024