USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAEDAH SUNTIKAN STATIK: USM PRIHATIN DALAM MEMUDAHKAN PROSES VAKSINASI KEPADA OKU

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Ogos 2021 – Kaedah suntikan secara statik tanpa perlu bergerak dari satu stesen ke stesen berikutnya telah mula diperkenalkan kepada penerima vaksin golongan orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

suntikan_statik1.jpg

Inisiatif tersebut adalah sebagai tanda keprihatinan USM dalam memudahkan proses vaksinasi kepada golongan OKU yang hadir menerima suntikan vaksin di SPPV Hospital USM.

Hampir 300 OKU dari seluruh negeri Kelantan dijadual akan menerima suntikan vaksin sempena Program Outreach Vaksinasi COVID-19 OKU USM, hari ini.

Menurut Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, kaedah suntikan secara statik dipilih bagi membantu meredakan ketakutan golongan OKU serta mengelak pergerakan yang banyak.

“Mereka akan diberi taklimat dan perlu mengisi borang kebenaran menerima vaksin serta menyerahkan kepada para petugas sebelum petugas ke tempat mereka untuk proses suntikan.

“Setiap OKU akan ditemani oleh seorang peneman sama ada ibu, bapa atau penjaga sepanjang proses vaksinasi bagi membantu memantau tahap kesihatan mereka sehingga selesai dan dibenarkan pulang,” katanya.

Tambah Shaiful, SPPV Hospital USM juga menggunakan kaedah suntikan vaksin secara pandu lalu kepada tujuh (7) OKU yang terpilih dalam memastikan program ini berjalan lancar dan nasib golongan istimewa sentiasa terbela. 

“OKU yang terlibat dalam program pada kali ini ialah daripada Pusat Perkembangan Autism Kelantan, Program for Inclusive Child Excellence (PRINCE) Child Care Centre USM, Pusat Asuhan Harian anak-anak Spastik (PUSAKAS), Projek Transformasi OKU USM, Taska OKU Auliya dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) USM.

suntikan_statik2.jpg

“Dalam usaha membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok (herd immunity), Pusat Autism USM, USM Early Intervention Centre (UNEIC) dan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM dengan kerjasama Persatuan Autism Kelantan, Projek Transformasi OKU USM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengambil inisiatif menganjurkan program ini kepada golongan OKU agar mereka tidak terkecuali daripada menerima suntikan vaksin,” ujarnya lagi.

Shaiful berkata, program ini juga bertujuan untuk membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada ibu bapa, penjaga serta guru-guru di Pusat Penjagaan dan Pembelajaran OKU di Kelantan. Selain itu, ia juga merupakan tanggungjawab sosial USM terhadap keperluan masyarakat lebih-lebih lagi golongan OKU.

“Vaksinasi merupakan antara salah satu usaha kerajaan menerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melindungi rakyat Malaysia daripada virus COVID-19 selain mengawal jangkitan daripada terus menular menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“SPPV Hospital USM mula beroperasi pada 25 Mei 2021 bagi proses vaksinasi kepada pesakit berdaftar dengan Hospital USM dan pesakit luar yang dirujuk oleh PPV Komuniti serta menepati kriteria selepas pemeriksaan (pre-vaccination assessment, PVA) oleh Pegawai Perubatan di mana-mana klinik atau fasiliti rawatan di USM," jelasnya.

Shaiful turut mengingatkan semua pihak agar tidak bergantung sepenuhnya kepada usaha kerajaan dalam membendung pandemik COVID-19, sebaliknya turut menyumbang dengan melakukan kawalan kendiri terhadap diri sendiri dan keluarga kerana perjuangan melawan COVID-19 adalah tanggungjawab bersama.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 488

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024