USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YAYASAN UEM SUMBANG KIT RTK-AG UNTUK PENEMAN PESAKIT B40 HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Ogos 2021 – Bagi membantu mengurangkan penularan jangkitan virus COVID-19 dalam fasiliti perawatan pesakit, Yayasan UEM telah menyumbangkan Kit Ujian RTK-Ag bernilai RM30,000 untuk ujian kepada peneman pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang berkelayakan.

Sumbangan_Yayasan_UEM.jpg

Sumbangan tersebut bertujuan membantu meringankan beban peneman pesakit daripada kategori B40 dan kurang berkemampuan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 melakukan ujian saringan RTK-Ag sebagaimana yang ditetapkan sebelum dibenarkan menjadi peneman pesakit di dalam wad.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengesan pembawa virus yang tidak bergejala dalam kalangan peneman pesakit sebagai salah satu usaha membantu negara melandaikan lekuk kes harian yang semakin meningkat kini.

Pihak pengurusan Hospital USM menyambut baik sumbangan Yayasan UEM itu dan sememangnya amat membantu berikutan arahan yang dikeluarkan baru-baru ini yang mewajibkan setiap waris atau peneman pesakit untuk menjalani ujian COVID-19 bagi mengelakkan jangkitan dari komuniti susulan penularan wabak itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Hospital USM dua hari lepas, Pengarahnya Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, saringan dilakukan berdasarkan keadaan semasa jangkitan COVID-19 di Kelantan, khususnya daerah Kota Bharu, termasuk ancaman penyebaran varian Delta yang merebak pantas.

Katanya, penularan kes positif COVID-19 ke zon rawatan pesakit perlu dikawal kerana boleh menjejaskan tumpuan warga kerja hospital dan membantutkan operasi perkhidmatan kesihatan secara keseluruhannya.

Pihak Hospital USM telah menetapkan bahawa hanya seorang peneman dibenarkan untuk seorang pesakit pada satu-satu masa dan hanya peneman yang melepasi saringan risiko serta memperoleh keputusan negatif terkini (dalam tempoh 72 jam) ujian RTK-Ag atau RT-PCR COVID-19 akan diberi kebenaran untuk memasuki fasiliti perawatan pesakit tertentu. 

  • Created on .
  • Hits: 491

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024