103 PELAJAR KEJURUTERAAN TERLIBAT PENGHANTARAN PELAJAR PULANG CUTI HUJUNG SEMESTER
NIBONG TEBAL, 24 Julai 2021 – Seramai 103 orang pelajar dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) telibat dalam Fasa 2 penghantaran pelajar pulang sempena cuti hujung semester hari ini.
Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang turut hadir dalam pelepasan tersebut, mendoakan keselamatan pelajar yang pulang ke kampung halaman masing-masing dan menasihatkan mereka untuk terus mengekalkan kawalan kendiri walaupun sedang bercuti panjang.
“Sila manfaatkan cuti kali ini dengan memperbaiki serta melatih kemahiran memimpin yang ada dalam diri masing-masing,” kata beliau.
“Kelak, ia mungkin akan membuka kesempatan untuk anda menjadi pemimpin pelajar baharu sekembalinya anda ke kampus nanti.
“Apatah lagi, akan berlangsungnya proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM yang dijangka diadakan pada bulan Oktober ini,” tambah Azazi.
Tiga buah bas terlibat dalam Fasa 2 ini yang mana dua bas bergerak ke Zon Selatan dan sebuah lagi ke Zon Pantai Timur.
Bagi pelajar dari Zon Utara pula, pelepasan dijadualkan pada 25 Julai 2021 manakala bagi pelajar dari Sabah dan Serawak, penghantaran dijalankan sepanjang minggu dan ia adalah bergantung kepada tarikh tempahan penerbangan masing-masing.
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat juga perlu dipatuhi pelajar sebelum bertolak seperti semakan dokumen perjalanan oleh Nerve Centre untuk mengelak sebarang kesilapan dan setiap bagasi yang dibawa turut dinyahkuman oleh Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP).
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Mat Noor Md Zain
- Created on .
- Hits: 415