USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

STAF PENTADBIRAN DISARAN REBUT PELUANG PEMBIAYAAN TLSP, TINGKAT MUTU KOMPETENSI PERKHIDMATAN

 

PTI TLSP

USM PULAU PINANG, 5 Ogos 2021 – Warga kampus kategori staf pentadbiran disaran untuk merebut peluang menyertai kursus-kursus di luar kampus bagi meningkatkan mutu kemahiran dan kompetensi dalam perkhidmatan melalui pembiayaan penuh Tabung Latihan Staf Pentadbiran (TLSP).

Tabung yang dahulunya dinamakan Tabung Latihan Bukan Akademik (TLBA) ini yang dijenama semula kepada Tabung Latihan Staf Pentabdiran (TLSP) merupakan kemudahan pembiayaan yang diberikan oleh universiti kepada staf bukan akademik untuk mengikuti kursus atau latihan jangka pendek yang berfokuskan kompetensi fungsian staf.

Menurut Penolong Pendaftar Kanan, Unit Pembangunan Kompetensi Fungsian dan MyCPD, Pusat Transformasi Insan, Jabatan Pendaftar USM, Nurul Izzati Rozaili, semua staf pentadbiran USM boleh memilih kursus-kursus yang dikenalpasti bersesuaian dengan fungsian perkhidmatan semasa di dalam ataupun di luar negara dan perlulah memohon kepada Pusat Transformasi Insan (PTI) bagi tindakan selanjutnya.

“Program ini bertujuan memperkaya bakat dan kemahiran yang diperlukan oleh staf-staf pentadbiran USM bagi menjalani fungsi-fungsi utama setiap staf yang terlibat dengan lebih berkualiti dan efisien melalui kursus-kursus yang bersesuaian dengan skop tugas,” kata Nurul Izzati.

Tambah beliau, pembiayaan ini terbuka kepada kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Pelaksana bagi menyertai kursus-kursus yang dimohon berdasarkan tempoh latihan yang ditetapkan dari 1 hari sehingga 7 hari.

“Kaedah latihan atau kursus yang disertai boleh diikuti sama ada secara dalam talian ataupun bersemuka, dan selain itu staf mendapat kemudahan pembiayaan yuran kursus yang akan dibiayai penuh oleh universiti termasuk penginapan dan tuntutan perjalanan jika ada,” jelas beliau lagi.

Taklimat berkenaan TLSP ini merupakan salah satu pengisian oleh Jabatan Pendaftar sempena Hari Bersama Pelanggan Jabatan Pendaftar 2021 yang berlangsung secara dalam talian pada 5 Ogos 2021.

Untuk memohon, staf bolehlah memohon secara dalam talian dengan melayari laman web rasmi Campus Online USM, memilih dan klik pada ikon EOTRA seterusnya E-TLSP bagi tujuan tersebut.

Maklumat lanjut berkenaan perkara ini, boleh menghubungi Pusat Transformasi Insan (PTI), Jabatan Pendaftar USM di talian 04-6536441 /04-6536443 atau e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Teks dan Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 504

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024