USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BEM, USM BERKOLABORASI ANJUR PERSIDANGAN TENTANG PENGANTARABANGSAAN IPT

USM PULAU PINANG, 5 Ogos 2021 – Bahagian Education Malaysia (BEM) telah menjalinkan kolaborasi strategik bersama Universiti Sains Malaysia (USM) tahun ini untuk menganjurkan satu persidangan yang bertemakan “Internationalisation of Higher Education Towards Future Talents” pada 17 Disember 2021.

WhatsApp_Image_2021-08-06_at_20.08.58.jpeg

Foto dari Arkib Foto USM: Diambil sebelum pandemik COVID-19 melanda negara kita  

Persidangan ini akan dijalankan secara dalam talian dan secara bersemuka di lokasi yang dicadangkan oleh BEM iaitu di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Lokasi ini dipilih kerana ia menerajui salah satu agenda BEM semasa Minggu Pendidikan di Expo 2020 Dubai.

Persidangan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan berkongsi ilmu pengetahuan berkenaan isu dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh institusi-institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara dalam usahauntuk meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa di Malaysia dan juga di luar negara.

Objektif utama persidangan adalah untuk mengumpul ahli akademik, penyelidik dan sarjana untuk berkongsi pengalaman dan hasil penyelidikan berkaitan masa hadapan pengantarabangsaan institusi pengajian tinggi.

Selain itu, ia juga menyatukan pengamal akademik, pakar akademik dan sarjana penyelidikan untuk meneroka isu-isu berkenaan digitalisasi, inovasi dan pengantarabangsaan dalam beberapa bidang utama termasuk program pengantarabangsaan di universiti untuk penjenamaan masa depan dan kualiti pengajian tinggi, inovasi dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran masa depan, kebolehpasaran graduan antarabangsa dan cabaran sistem pendidikan masadepan.

Di samping itu, persidangan ini juga bertindak sebagai lensa pengantarabangsaan, mencerminkan amalan pendidikan tinggi semasa dan masa depan dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penilian pembangunan kokurikulum, tadbir urus digitalisasi dan pendidikan transnasional; serta menyediakan satu platform perkongsian ilmu pengetahuanmengenai sektor utama pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Malaysia merupakan antara negara tertinggi di dunia dari segi jumlah pelajar antarabangsa. Jumlah pelajar antarabangsa di institusi pendidikan tinggi Malaysia telah meningkat daripada 45,000 orang pelajar pada tahun 2007 kepada 170,068 orang pelajar pada tahun 2017.

Ini menunjukkan terdapatnya peningkatan sebanyak lebih seratus peratus sejak pelancaran Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara 2007-2020 (PSPTN).

Maklumat lanjut persidangan boleh diperolehi melalui www.aimsconference.usm.my.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 534

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024