USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CARI RAKAN KONGSI MAJUKAN DUA PRODUK PENYELIDIKAN KESIHATAN

usmkelan

KOTA BHARU, 9 Jun 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) sedang berusaha mendapatkan rakan kongsi dalam memajukan dua produk kesihatan yang dihasilkan melalui penyelidikan di Kampus Kesihatan Kelantan.

"Kita mengharapkan terdapat pihak yang berminat untuk memajukan produk-produk penyelidikan yang ada supaya dapat dikomersilkan dan memberikan faedah kepada masyarakat dan negara, untuk dikongsikan sebagai bahan dan perkhidmatan dalam mengupayakan rakyat negara ini di samping melatih pengamal perubatan serta diguna pakai dengan sewajarnya," kata Naib Canselor USM, Profesor  Dato' Dr. Omar Osman.

Katanya, USM akan memajukan produk-produk yang ada termasuk menubuhkan makmal terapi keseimbangan badan yang menggunakan produk yang dihasilkan yang dikenali sebagai Bal ex Zuraida-Shah Rotatory Chair oleh Dr. Zuraida Banun dan pasukan penyelidiknya bersama-sama rakan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Bal ex Zuraida-Shah Rotatory Chair telah memenangi pingat emas kategori Bioteknologi, Kesihatan dan Kecergasan dalam Pertandingan Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 (ITEX 2013) pada 9-11 Mei 2013 di Kuala Lumpur.

Bal ex Zuraida-Shah Rotatory Chair merupakan peralatan pertama seumpamanya di Malaysia yang dapat menguji lokasi pesakit yang menyebabkan seseorang itu hilang keseimbangan badan dengan menggunakan 80% bahan dari bahan kitar semula. Bal ex boleh digunakan untuk menguji dan juga terapi pesakit yang mengalami ketidakseimbangan badan.

Sebanyak 20% daripada rakyat negara ini dikatakan mempunyai masalah keseimbangan badan  yang memerlukan terapi untuk pemulihan dan mengenalpasti penyakit yang berkaitan.

Sebelum ini, mereka yang merasa pening atau mempunyai simptom ketidakseimbangan badan diuruskan dengan memberikannya rawatan menggunakan ubat-ubatan.

Pada Sidang Media yang sama, Naib Canselor USM turut memperkenalkan produk nano komposit, bahan untuk tampal gigi dari sekam padi yang pada masa ini dihasilkan di peringkat makmal.

Produk penyelidikan yang pertama dihasilkan ini oleh Profesor Ismail Ab Rahman dari Pusat Pengajian Sains Pergigian bersama pasukan penyelidikannya - Dental Nanocomposite from Rice Husk - turut memenangj pingat emas dalam kategori bahan dalam Pertandingan Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 (ITEX 2013) yang sama.

Ini merupakan satu inovasi bahan tampalan gigi yang dihasilkan daripada sekam padi berbanding bahan yang digunakan sekarang mengandungi lebihan asid. Sekam padi ini mengandungi juga silika seperti yang dihasilkan daripada tampalan simen biasa. Penggunaan simen dikatakan sangat mudah pecah berbanding ekstrak daripada sekam padi.

"Produk ini dikatakan jauh lebih murah daripada yang sedia ada di pasaran yang diimport dari luar negara dan sesuai digunakan namun memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk dipasarkan kerana perlu terlebih dahulu menjalani ujian klinikal haiwan dan manusia dengan kos yang agak tinggi dan mengambil masa," kata Omar.

Untuk mempercepatkan proses dan memajukan produk penyelidikan yang dihasilkan di universiti, adalah wajar jika ada pihak-pihak yang berminat untuk tampil membantu dengan menjalankan usaha sama dalam jangka panjang demi faedah orang ramai dan negara, kata Omar. – Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1812

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024