USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANGKUL TEMPAT KEDUA INTEL TRACK PERTANDINGAN REKACIPTA IMDC 2021

USM PULAU PINANG, 3 Ogos 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya merangkul tempat kedua bagi kategori Intel Track pada pertandingan rekacipta secara dalam talian ‘Innovate Malaysia Design Competition 2021 (IMDC 2021) yang diumumkan baru-baru ini.

Pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Yap June Young, Teng Siew Min dan Pang Yu Xuen serta penasihat pasukan, Prof. Madya Dr. Zaini Abdul Halim berjaya mengharumkan nama USM dengan mengetepikan 3 Universiti lain pada peringkat akhir kategori ‘Intel Track’ bagi meraih tempat kedua di belakang Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui projek bertajuk ‘Implementation of Car Plate Detection on Soc Platform’.

WhatsApp_Image_2021-08-04_at_15.34.31.jpg

Ketua projeknya, June Young, 24, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Elektronik berkata, kejayaan ini amat bermakna buat mereka sepasukan setelah lebih 7 bulan berusaha menyiapkan perisian tersebut.

“Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada Prof. Madya Dr. Zaini Abdul Halim selaku penasihat kumpulan kami yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan bimbingan bagi merealisasikan inovasi perisian yang diciptakan ini sehingga berjaya meraih kemenangan tempat kedua daripada 27 universiti bertanding,” jelas beliau.

Katanya lagi, buat pertama kalinya menyertai pertandingan ini di tahun terakhir pengajian cukup memberi kenangan manis kepada beliau dan rakan-rakan pasukan yang lain, walaupun secara dalam talian, pertandingan ini sememangnya berprestij tinggi yang melibatkan universiti-universiti awam dan swasta dengan produk-produk hebat yang dihasilkan.

Mengulas lanjut mengenai projek tersebut, ‘Implementation of Car Plate Detection on Soc Platform’ secara ringkasnya merujuk kepada perisian yang dihasilkan bagi pengecaman kenderaan melalui nombor pendaftaran di lokasi-lokasi awam seperti di pusat membeli belah, lampu trafik, CCTV keselamatan dan aplikasi perisian membabitkan keselamatan jalan raya dalam masa yang singkat dan sumber optimum.

“Perisian yang kami ciptakan ini antara salah satu fungsinya adalah memudahkan pengguna atau pihak berkuasa menyelesaikan masalah keselamatan dan jenayah di jalan raya dengan pengesanan pantas hanya melalui nombor kenderaaan berdaftar, contohnya jika berlaku kejadian kereta dicuri dan sebagainya,” jelas Yap ketika ditemu bual.

Dengan kemenangan ini, USM berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 beserta sijil penghargaan.

IMDC2021 sedang berlangsung pada 2 sehingga 9 Ogos 2021 dianjur bersama syarikat-syarikat teknologi gergasi dunia seperti AWS, Intel, Keysight, Microsoft dan SilTerra.  

IMDC 2021 turut menerima penyertaan sebanyak 274 pasukan dari 27 universiti di seluruh negara yang mendaftar dalam pelbagai bidang teknologi dan aplikasi termasuk litar bersepadu, sistem elektronik, IoT, Big Data, aplikasi mudah alih, automotif, aplikasi pintar, teknologi hijau, kejuruteraan bio, dan bidang inovasi teknologi lain.

36 pasukan telah disenarai pendek sebagai pasukan finalis untuk bertanding dalam acara tersebut untuk memperoleh pelbagai hadiah yang ditawarkan oleh industri dan badan profesional kejuruteraan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Infografik: Ebrahim Abdul Manan 

  • Created on .
  • Hits: 856

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024