SUKARELAWAN PPV SAINS@BERTAM TERIMA SUMBANGAN PENGHARGAAN CUEPACS
KEPALA BATAS, 2 Ogos 2021 - Sukarelawan staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sains@Bertam hari ini menerima kunjungan hormat dan sumbangan penghargaan dari Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Pada sesi kunjungan tersebut bagi melihat sendiri proses pemberian vaksin yang diuruskan sendiri warga kampus di PPV Sains@Bertam, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), delegasi CUEPACS turut mengambil kesempatan bagi menyalurkan penghargaan dan sumbangan berbentuk makanan dan minuman yang disampaikan sendiri Presiden CUEPACS, Tuan Haji Adnan Mat.
Dalam ucapannya pada sesi kunjungan itu, Adnan berkata, beliau amat menghargai usaha yang dilakukan oleh USM terutamanya staf-staf pelbagai peringkat jawatan yang secara sukarela menjadi petugas di PPV sekaligus menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini.
Katanya, penglibatan kakitangan USM ini memberi makna dan contoh kepada penjawat-penjawat awam lain dalam menyokong usaha kerajaan bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok.
“Operasi keseluruhan PPV di USM ini yang sepenuhnya dikawal selia oleh kakitangannya sendiri adalah suatu yang perlu dibanggakan termasuk penyertaan pelajar-pelajar yang turut bertindak sebagai sukarelawan membantu di PPV; usaha ini perlu dicontohi.
“CUEPACS dari awal lagi menyambut baik pembukaan PPV di USM dan yakin dengan kemampuan dari segi kemudahan dan pengendalian pengoperasian di PPV Sains@Bertam,” katanya.
Delegasi lawatan CUEPACS itu turut disertai Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd Nordin dan diiringi Penyelaras PPV Sains@Bertam, Dr. Suria Emilia Suhana Othman; Presiden Kesatuan Kakitangan Am USM (KKAUSM), Ahmad Rizwan Zulkharnain dan Setiausaha Agung KKAUSM, Nor Amin Ahmad.
Pada majlis yang sama, Rizwan berkata kehadiran pihak CUEPACS buat kali kedua ini selepas kunjungan di PPV Kampus Induk menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi pihak CUEPACS turun padang bagi melihat dan mengenalpasti apa juga aspek yang boleh dibantu bagi memudahcarakan kakitangan-kakitangan USM yang terlibat secara sukarelawan di PPV.
"Setinggi-tinggi terima kasih kepada pucuk pimpinan dan delegasi CUEPACS yang sudi hadir dan menyampaikan sumbangan buat barisan hadapan USM yang terlibat, ini sedikit sebanyak memberikan motivasi buat mereka untuk terus berbakti sepanjang tempoh pemberian vaksin ini," jelas Rizwan.
Sementara itu, Dr. Suria Emilia dalam ucapan aluannya berkata, USM menjadi PPV IPT kedua selepas PPV Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) di Kuala Lumpur.
Katanya, PPV di USM dikategorikan sebagai PPV awam kategori dua iaitu maksimum suntikan adalah 400 suntikan sehari.
“Operasi di PPV Dewan Utama Pelajar (Dewan Peperiksaan) dan PPV Sains@Bertam melibatkan beberapa kategori petugas iaitu petugas kesihatan, petugas operasi dan juga sukarelawan dalam kalangan bekas staf, staf dan pelajar USM.
“PPV Sains@Bertam sentiasa bersedia untuk sama-sama membantu menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan profesional untuk memastikan hasrat kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok dapat direalisasikan,” katanya.
Teks & Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop
- Created on .
- Hits: 1115