PASUKAN ARKEOLOGI USM KE PAKISTAN
Seramai 8 orang penyelidik dari Pusat Kajian Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) berlepas ke Pakistan untuk bersama-sama 7 orang penyelidik dari University of Peshawar (UoP) dan dibantu oleh 25 orang tenaga kerja tempatan di sana akan terlibat dalam penyelidikan yang pertama di antara USM-UoP ini.
“Cuaca di sini panas sekitar 43-52 darjah celcius dan kami sedang siapkan persiapan kelapangan pada Ahad nanti ke tapak Kashmir Smash lebih kurang 3 jam perjalanan kenderaan ke sana,” kata Pengarah PPAG, Profesor Mokhtar Saidin dalam emelnya dari Pakistan.
Menurut Mokhtar, mereka memohon bantuan USM untuk pemetaan geologi dan geofizik di tapak tersebut selama sebulan sehingga 2 Julai.
“Tapak ini sangat penting dalam tamadun dunia kerana lengkap mendedahkan bukti prasejarah dan tamadun Buddha, Hindu, Kristian dan Islam,” jelas Mokhtar.
Tapak ini berada di pergunungan sekitar 1200 meter di atas aras laut (seolah-olah Machu Pichu, Peru yang kedua) lengkap dengan bukti peradaban seperti kolam, istana dan lain-lain.
“Di samping membantu mereka melalui MoA yang ditandatangani di USM baru-baru ini, kita juga dapat mempelajari banyak perkara daripada pakar tamadun mereka khasnya dalam kajian di Sungai Batu, Lembah Bujang,” kata Mokhtar. - Foto: Profesor Mokhtar Saidin
- Created on .
- Hits: 1768