USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEMARAK SOKONGAN BUAT “THE POCKET ROCKETMAN”

USM PULAU PINANG, 1 Ogos 2021 -- Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) Universiti Sains Malaysia (USM) melalui laman media sosialnya, Arena Sukan USM malam ini meneruskan lagi programnya iaitu sesi sembang sukan secara dalam talian dengan tajuk kali ini “Harapan Emas? Dari Dungun Sampai Ke Tokyo” yang berfokus kepada perbincangan santai tentang kontinjen Malaysia yang sedang berjuang di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dikendalikan sepenuhnya oleh staf USM, Pembantu Belia dan Sukan, Mahadzer Mokhtar (moderator); Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Ahmad Norafandy Ahmad Yatim (panel); serta Penolong Pegawai Belia dan Sukan yang juga bekas jurulatih pelapis kebangsaan dan bekas pelumba kebangsaan, Eddie Norshamshidi Abdul Rashid (Coach Eddie), perbincangan santai pada malam minggu Ahad ini lebih menarik kerana menjurus kepada pelumba basikal trek kebangsaan kita, Dato’ Muhammad Azizulhasni bin Awang yang sedang berjuang di Tokyo.

20roketman_1519021976.jpg

Sesi malam ini turut diceriakan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim.

WhatsApp_Image_2021-08-02_at_11.03.39.jpeg

Perbincangan kali ini lebih berfokus kepada adakah Dato’ Azizulhasni dapat melakarkan kejayaan buat Malaysia serta komen dan pendapat berkaitan sukan berbasikal trek dan sukan-sukan utama lain yang disertai atlet Malaysia di Tokyo dan halatuju pembangunan sukan-sukan ini di masa hadapan untuk negara tercinta.

Dato’ Azizulhasni akan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu di Tokyo bersama rakan seperjuangan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

PSR USM sedang dalam proses dan rangka perancangan untuk menjalankan projek-projek dan pengisian sebegini pada ketika pandemik COVID-19 ini bagi menyemarakkan semangat semua warga USM dan umum untuk terus bersukan dan menerapkan elemen kesukanan dalam diri masing-masing walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk bersosial secara bersemuka untuk bersukan.

Sementara itu, pingat Olimpik pertama Malaysia dirangkul kelmarin dalam sukan badminton apabila gandingan beregu lelaki Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menghadiahkan gangsa kepada negara dengan menewaskan beregu Indonesia dalam permainan 3 set.

Malaysia telah menghantar 30 atlet yang akan menggalas cabaran dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang bermula pada 23 Julai 2021 hingga 8 Ogos 2021.

Sebanyak 206 kontinjen mengesahkan penyertaan pada temasya sukan terbesar dunia ini yang telah tertangguh selama setahun akibat pandemik COVID-19.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 622

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024