USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RANGKUMAN BERITA MENGENAI PPV USM - BHG 2

31 Julai 2021

MENARIK DI PPV@USM: PPV USM “BERAYA” AIDILADHA 

Satu keunikan timbul di PPV USM baru-baru ini tatkala soal keseriusan masih menjadi keutamaan di setiap PPV di seluruh negara yang masih berjuang untuk memberi sebanyak suntikan yang boleh saban hari agar negara dapat mencapai sasaran imuniti kelompok secepat seperti yang dirancangkan. 

Pada hari kedua Hari Raya Aidiladha (21 Julai 2021) yang disambut seluruh umat Islam di sini menyaksikan petugas-petugas PPV di Dewan Utama Pelajar (DUP) USM mengenakan pakaian kebangsaan ataupun baju raya untuk bertugas melayan penerima vaksin. 

Menurut Ketua Penyelaras Pentadbiran PPV USM, Zulkifli Che Hussin, idea ini timbul apabila para petugas dan sukarelawan yang kesemuanya terdiri daripada warga USM sendiri (staf perubatan, staf akademik dan bukan akademik, pelajar malah pesara USM) memberi cadangan secara spontan untuk berbaju raya demi memeriahkan lagi suasana di PPV USM pada hari tersebut

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_13.05.19.jpeg

“Setiap hari bekerja kita akan menerima hampir 800 orang penerima vaksin dan ini merupakan bulan kedua PPV ini beroperasi, jadi idea sebegini sedikit sebanyak dapat memberi motivasi dan mengurangkan tahap stres para petugas dan sukarelawan,” katanya. 

Bagi sukarelawan daripada kalangan pelajar pula, ini adalah salah satu cara bagi mereka untuk meraikan hari raya aidiladha kali ini tatkala jadual yang padat dengan peperiksaan akhir semester yang dilalui dan juga pada yang belum atau tidak dapat pulang lagi ke kampung halaman. 

‘UNCLE PLASTIK’ BERHATI MULIA VIRAL DI MEDIA SOSIAL DAN MEDIA CETAK

PPV USM turut dikejutkan dengan kehadiran seorang penerima vaksin warga emas yang diberi gelaran “uncle plastik” sehingga tular dan mendapat liputan yang sangat meluas dari media-media utama negara dan luar negara.  

WhatsApp_Image_2021-07-29_at_12.00.54_1.jpeg

Kehadiran Hor Boon Chung, 63, dengan mengenakan plastik di kepala ketika menerima dos pertamanya pada 8 Julai lalu mengundang pelbagai reaksi namun apa yang menarik, beliau disifatkan sangat khuatir dengan penularan wabak berkenaan sehingga membuatkannya mengenakan plastik di kepalanya. 

Pun begitu, petugas-petugas kesihatan di USM telah memberikan nasihat sewajarnya mengenai tatacara yang betul untuk perlindungan daripada jangkitan, termasuk menyumbangkan ‘face shield’ kepada Boon Chung. 

Boon Chung juga ternyata sangat berhati mulia apabila turut memberikan sumbangan kepada petugas-petugas PPV@USM dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih. Antara kata-kata beliau yang tidak boleh dilupakan oleh kebanyakan petugas adalah: “Wang boleh cari tapi nyawa tiada ganti.” 

Kehadirannya ketika menerima dos kedua pada 29 Julai selepas tiga minggu turut disambut baik oleh para petugas.

Pengerusi PPV@USM>, Profesor Dr. Md Roslan Hashim turut mengambil peluang menyerahkan sedikit cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Boon Chung yang berjaya ‘mencuit rasa’ dalam kalangan petugas PPV dan juga masyarakat secara keseluruhannya.

HIBURAN SANTAI BUAT PENERIMA VAKSIN DAN PENEMAN  

Dewan Budaya USM tampil memberikan persembahan secara santai, bertujuan untuk menenangkan minda penerima-penerima vaksin dan peneman di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) USM, di sini. 

Alunan pelbagai genre muzik yang dimainkan oleh kakitangan Dewan Budaya dan alumni-alumni USM itu turut dipersembahkan bagi mencetuskan suasana mendamaikan di PPV USM yang setiap hari menerima kehadiran beratus-ratus penerima vaksin. 

WhatsApp_Image_2021-07-28_at_13.17.16.jpeg

Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli berkata, kehadiran pasukan Dewan Budaya dengan disertai alumni Universiti di PPV USM adalah antara sumbangan yang dapat diberikan kepada menara ilmu ini dan komuniti secara amnya. 

“Kita mungkin tidak dapat menyumbang dalam aspek perubatan namun kita mempunyai cara tersendiri untuk turut membantu. Dengan cara ini, kita berupaya mencetuskan suasana yang lebih rileks buat semua petugas dan penerima vaksin. 

“Kita telah membuat susunan irama-irama yang sesuai untuk dimainkan dan seboleh-bolehnya cuba untuk membantu dalam menangani isu-isu berkaitan kesihatan mental melalui alunan-alunan muzik yang sesuai,” ujar beliau. 

Kompilasi teks & Suntingan: Marziana Mohamed Alias/Teks asal: Marziana Mohamed Alias, Hafiz Meah Ghouse Meah & Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Ebrahim Abdul Manan 

  • Created on .
  • Hits: 517

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024