RANGKUMAN BERITA MENGENAI PPV USM - BHG 1
31 Julai 2021
USM MULAKAN OPERASI PPV: SUMBANGAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI JAYAKAN PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN
Universiti Sains Malaysia (USM) menzahirkan sokongan dan komitmennya dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) apabila Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti ini beroperasi secara berperingkat di tiga lokasi berasingan.
Selepas kejayaan pembukaan PPV dan PPV Khas (SPPV) (termasuk secara pandu lalu bagi kes-kes yang berkeperluan) di Hospital USM, Kubang Kerian, Kelantan bermula Mac 2021 yang lalu, PICK di USM kini telah mula dijalankan di dua lagi lokasi di USM iaitu di PPV Dewan Utama Pelajar (Dewan Peperiksaan), Kampus Induk dan PPV Sains@Bertam di Kepala Batas, di sini.
Pengerusi PPV@USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan Malaysia dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ditubuhkan untuk memastikan akses bekalan kepada vaksin COVID-19 untuk negara dapat diperolehi dengan kadar segera, selamat, sempurna dan berkesan.
“Sehubungan dengan itu, USM diberi tanggungjawab untuk menjadi salah sebuah lokasi PPV di bawah PICK. Ia juga selaras dengan usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk sama-sama membantu PICK dalam menyediakan akses yang lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin,” ujar beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM.
Mengulas mengenai operasi PPV USM, beliau berkata: “Operasi pemberian vaksin di USM melibatkan koordinasi menyeluruh bersama pihak-pihak yang terlibat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) pihak berkuasa tempatan, USM dan sebagainya bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi kepada penerima.
“USM juga bekerjasama rapat dengan PIC Negeri Pulau Pinang (Pegawai Daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara) untuk menyelaras pembekalan vaksin kepada kedua-dua PPV USM. Penyelarasan terperinci ini amat penting untuk dilakukan dengan mengambil kira kapasiti maksimum penerima vaksin di kedua-dua PPV USM adalah sekitar 200 sehingga 1,000 orang sehari,” ujar beliau lanjut.
Dalam pada itu, operasi di PPV Dewan Utama Pelajar (Dewan Peperiksaan) dan PPV Sains@Bertam dikendalikan sepenuhnya oleh warga USM membabitkan beberapa kategori petugas iaitu petugas kesihatan, petugas operasi dan juga sukarelawan dalam kalangan bekas staf, staf dan pelajar USM, yang turut menzahirkan keterujaan untuk turut serta menyumbang tenaga demi menjayakan operasi menangani penularan wabak COVID-19 ini.
OPERASI HARI PERTAMA BERJALAN LANCAR
Meninjau keadaan sebenar di hari pertama PPV@USM dilancarkan di Kampus Induk dan di Sains@Bertam, keadaan berjalan dengan lancar dan semua petugas dapat memberikan komitmen terbaik setelah melalui beberapa siri latihan dan lawatan tapak ke PPV yang sedia beroperasi di sekitar Pulau Pinang.
Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin juga sempat meluangkan masa turut serta memerhatikan perjalanan operasi PPV di Dewan Utama Pelajar (Dewan Peperiksaan) USM.
Menurut Awang Adek, beliau merasa gembira dan berbangga dengan penglibatan pihak USM dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini.
“Ini adalah agenda kebangsaan, yang mana rakyat perlu diberi vaksin dengan kadar segera. Terima kasih diucapkan kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pengerusi Jawatankuasa PPV@USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim yang telah bekerja keras dalam memastikan kelancaran pelaksanaan operasi pada hari ini.
Terdahulu, Naib Canselor USM turut menzahirkan rasa teruja dengan komitmen semua pihak dalam menjayakan misi pertama PPV@USM tersebut yang turut menerima kehadiran pegawai-pegawai utama universiti dan pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Kesemua vaksin selesai diberikan kepada 50 orang penerima pertama/sulung dalam operasi pada hari pertama berkenaan.
Untuk rekod, sehingga artikel ini diterbitkan, USM telah menerima ribuan penerima vaksin yang datang dari Daerah Timur Laut Pulau Pinang untuk mengambil dos pertama dan kedua mereka di PPV@USM.
USM LAKSANAKAN PPV PANDU LALU: BERI KEMUDAHAN KEPADA KOMUNITI
Selepas kejayaan pembukaan PPV secara statik bermula pada Jun lalu di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Utama Pelajar (PPV@USM), operasi PPV ini diteruskan dengan penambahbaikan melalui pelaksanaan kaedah vaksinasi secara pandu lalu bermula pada 23 Julai 2021.
Seperti PPV secara statik, PPV pandu lalu USM juga dikendalikan sepenuhnya oleh warga USM sendiri yang melibatkan sukarelawan staf akademik dan bukan akademik, staf perubatan, pelajar dan juga pesara USM.
Kaedah pemberian vaksin di USM melibatkan koordinasi menyeluruh bersama pihak-pihak yang terlibat di bawah KKM, MOSTI, pihak berkuasa tempatan, USM dan sebagainya bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi pandu lalu kepada penerima.
Menurut Md. Roslan, kaedah pengoperasian vaksinasi secara pandu lalu ini tertakluk kepada keperluan terhadap kes-kes tertentu sahaja. Beberapa kriteria yang membolehkan penerima vaksin menggunakan kaedah ini termasuklah penerima vaksin dos kedua sahaja, penerima vaksin bersetuju untuk pandu lalu, 15 minit tempoh pemerhatian (ditentukan melalui dos pertama) dan penerima vaksin berada pada tahap kesihatan yang baik.
“Bagi permulaan, PPV@USM dijangka akan menerima sekitar 200 penerima vaksin secara pandu lalu.
USM juga sentiasa bersedia untuk sama-sama membantu menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan profesional bagi memastikan hasrat kerajaan dalam mencapai ‘herd immunity’ dapat direalisasikan dengan kerjasama dan sokongan dari KPT, MOSTI, KKM, Kerajaan Negeri dan kementerian serta agensi-agensi lain yang terlibat,” ujar beliau lanjut.
Kompilasi teks & Suntingan: Marziana Mohamed Alias/Teks asal: Marziana Mohamed Alias, Hafiz Meah Ghouse Meah & Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 794