DIALOG CENPRIS BERJAYA KUPAS SEJARAH PULAU PINANG DAN SEBERANG PERAI
USM PULAU PINANG, 1 Ogos 2021 -- Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program Dialog Menyelusuri Sejarah dan Warisan Pulau Pinang dan Seberang Perai siri kedua dengan jayanya kelmarin.
Dengan kerjasama Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, program ini telah mencapai matlamat penganjurannya kepada umum secara dalam talian.
Menurut Pengarah CENPRIS, Prof. Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, pelaksanaan program ini adalah juga di bawah Jawatankuasa Focus Group Warisan, Kesenian, Budaya dan Pelancongan.
“Program ini adalah untuk mengupas isu dan fakta sejarah khususnya mengenai peranan orang Melayu di dalam sejarah awal Pulau Pinang,” jelasnya.
Tambahnya, pelaksanaan program ini juga dapat memberi pencerahan dan membangkitkan kesedaran masyarakat berkaitan sumbangan orang Melayu di dalam ruang lingkup sejarah Pulau Pinang.
Dengan tajuk berfokus pada “Benarkah Kerajaan Perai Wujud?”, dialog telah berjaya sedikit sebanyak merungkaikan persoalan yang timbul mengenainya.
Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Mariza Binti Abdul Majid @ Aziz manakala ucapan perasmian dilakukan oleh ADUN Sungai Dua merangkap Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Warisan, Kesenian, Budaya dan Pelancongan, YB Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor.
Sementara itu, Azeem turut berterima kasih kepada semua yang hadir ke program ini dan berharap mendapat sokongan semua untuk program-program akan datang yang bakal dianjurkan kelak.
CenPRIS ditubuhkan antaranya bertujuan untuk mempromosikan penyelidikan dan penerbitan dalam hal-hal dasar melalui kajian koperasi, penyelidikan, dan dialog.
Ditubuhkan pada tahun 1974, CenPRIS berfungsi sebagai pusat sumber maklumat dan analisis mengenai isu-isu kritikal yang menjadi perhatian umum, menyatukan orang untuk bertukar pandangan, membina kepakaran, dan mengembangkan pilihan dasar.
Sebagai pusat penyelidikan tertua di Malaysia, CenPRIS telah memberikan banyak sumbangan untuk projek pembangunan negara melalui pelbagai penyelidikan yang berorientasikan tindakan.
CenPRIS, misalnya, telah memberikan input kebijakan kepada pemerintah Malaysia mengenai sejumlah isu dasar penting mulai dari pengurangan kemiskinan hingga ke hubungan etnik.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 698