USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CALON PHD BERKEMBAR USM-OUJ KONGSI TIPS KEJAYAAN

USM PULAU PINANG, 29 Julai 2021 – Perasaan bangga lahir pada diri apabila mendapat perkongsian daripada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang memaklumkan terdapat seorang bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) telah berjaya mengikuti program Kedoktoran (PhD) berkembar di USM dan Osaka University Jepun (OUJ).

Demikian luahan kegembiraan oleh Wong Yee Jie apabila berjaya mengikuti program berkembar yang merupakan program kerjasama antara dua institusi dari dua negara ini iaitu Malaysia dan Jepun.

WhatsApp_Image_2021-07-29_at_14.06.38.jpeg

Bertambah bangga baginya apabila Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed juga merupakan salah seorang bekas pelajar MRSM.

Wong Yee Jie yang dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang merupakan anak sulung daripada 2 adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan menengah rendah dan menengah atas di MRSM Transkrian (2004-2009) dan memperolehi keputusan 7A+ dan 2A dalam SPM tahun 2009.

Menggunakan keputusan percubaan SPM, Wong berjaya mendapatkan tempat di Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk peringkat foundation (2010), sebelum menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di universiti yang sama (UTP). Wong memperoleh Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dengan Kelas Pertama (CGPA 3.86/4.00) pada tahun 2015.

Kemudiannya Wong melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di USM pada tahun 2015 di bawah penyeliaan Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan beliau berjaya memperoleh ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Kimia) pada tahun 2016.

Wong seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah di USM dan OUJ pada tahun 2017 di bawah program “International Dual Doctorate Programme,” dan telah menyiapkan tesis kedoktoran dan berada dalam proses menunggu “thesis defense” beliau.

Wong ada berkongsi tips kepada para pelajar yang ingin berjaya di menara ilmu, antaranya:

1. Menjaga hubungan baik dengan keluarga (ibu bapa, adik beradik, dan sebagainya). Sebagai seseorang individu, terutamanya pelajar, kita harus ingat bahawa keluarga kita akan sentiasa menyokong dan mendoakan kita.

2. Menjaga hubungan baik dengan guru dan ingat jasa guru. Sebagai seorang pelajar, guru merupakan individu yang sangat penting dan membentuk masa depan kita. (Di sini, beliau mengucapkan terima kasih kepada guru-gurunya yang terdahulu, dan juga penyelia beliau, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed kerana sudi mendidik beliau).

3. Menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan. Sebagai seorang pelajar, lazimnya, kita meluangkan lebih banyak masa kita bersama dengan rakan-rakan kita berbanding dengan orang lain. Rakan-rakan sepelajar kita biasanya akan menjadi “guru” yang paling rapat dengan kita pada bila-bila masa.

4. Jangan mudah putus asa. Pada pandangan beliau, semangat tidak berputus asa adalah yang paling penting dalam hidup. Berdasarkan pengalamannya, kebanyakan individu yang memperoleh kecemerlangan bukanlah individu yang dilahirkan “genius”. Malah individu yang berusahalah yang banyak mencapai kecemerlangan dalam hidup mereka. Ingatlah, kalau kamu belum berjaya, itu bukan bermakna kamu tiada “kelebihan”, tetapi itu bermakna kamu belum cukup berusaha.

5. Mengenali kelemahan diri dan mengikut langkah diri sendiri. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kelemahan diri sendiri. Dalam proses “menaik taraf” diri kita, kita harus mengenali, dan menerima kelemahan kita supaya kita boleh terus membaiki kelemahan dan terus menuju ke hadapan. Janganlah kita sesekali berasa hampa ketika kita berbanding dengan individu yang lebih “berbakat” daripada kita. Setiap orang mempunyai jalan masing-masing. Ikutlah jejak langkah masing-masing dalam hidup dan terus berusaha.

6. Mengenali sasaran. Mengenali sasaran kita merupakan proses yang sangat penting supaya kita tidak membazirkan masa kita pada sesuatu yang kita tidak mahu.

7. Sentiasa memberi peluang lain kepada diri kita. Kadang-kadang, kita sudah berusaha tetapi masih tidak berjaya. Ketika inilah kita harus membuat pilihan untuk diri kita sama ada untuk terus berusaha untuk mencapai sasaran ini atau tukar sasaran yang lain. Kebolehan untuk membuat keputusan pada masa ini adalah sangat penting supaya kita tidak membazirkan masa untuk sasaran yang tidak dapat dicapai atau yang sudah sia-sia kalau kita capai pada masa hadapan. Kita haruslah sentiasa memberikan peluang kepada diri kita sendiri dan sentiasa mempunyai “backup plan” supaya kita tidak hilang arah hidup ketika menghadapi dugaan.

Wong juga mengucapkan tahniah kepada Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Professor Morikawa atas usaha merealisasikan impian beliau ini. Semoga usaha ini memberi inspirasi kepada anak-anak muda untuk terus berusaha memperoleh kejayaan. 

WhatsApp_Image_2021-07-29_at_14.06.39.jpeg

Teks Asal: Wong Yee Jie/Olahan & Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 673

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024