MANFAAT DIKONGSI BERSAMA, KERANA SEBAHAGIAN PENDAPATAN KITA ADALAH HAK MEREKA
USM PULAU PINANG, 29 Julai 2021 – Di sebalik pendapatan bulanan kita, adanya hak untuk mereka, dan manfaat berkongsi merupakan satu amalan yang mulia di sudut pandang Islam untuk dijadikan ikutan semua dan perlu ditunaikan.
Demikian ujar Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman yang mengajak seluruh warga USM untuk jom beramai-ramai menunaikan zakat melalui laman ePusat Islam antaranya dengan cara potongan gaji secara bulanan.
Pautan untuk berzakat: https://epusatislam.usm.my/epotongan/main.php
Shukri juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada mereka yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar zakat di Pusat Islam USM dan kerana sumbangan semua, golongan asnaf yang memerlukan dapat dibantu.
Potongan zakat anda akan disalurkan kepada asnaf yang dibenarkan dan selayaknya menerima dalam kalangan pelajar USM, warga staf USM, warga qaryah Masjid Al-Malik Khalid USM, asnaf yang layak dan skim-skim bantuan zakat Pusat Islam USM.
Antara faedah berzakat melalui cara ini termasuklah menjimatkan masa tanpa individu itu perlu hadir ke kaunter pembayaran zakat seperti amalan sebelum ini dan pembayaran ini akan mendapat rebat bagi tolakan cukai pendapatan individu.
Selain itu, ia juga dapat meringankan bebanan dengan bayaran zakat secara bulan sebegini dan untuk mengelakkan daripada terlepas menunaikan zakat pada waktunya.
ﺁﺟَﺮَﻙ ﺍﻟﻠﻪُ ﻓِﻴْﻤَﺎ ﺍَﻋْﻄَﻴْﺖَ، ﻭَﺑَﺎﺭَﻙَ ﻓِﻴْﻤَﺎ ﺍَﺑْﻘَﻴْﺖَ ﻭَﺟَﻌَﻠَﻪُ ﻟَﻚَ ﻃَﻬُﻮْﺭًﺍ
“Semoga Allah memberikan pahala atas apa yang engkau berikan, dan semoga Allah memberikan berkah atas harta yang kau simpan dan menjadikannya sebagai pembersih bagimu.”
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pusat Islam Kampus Induk (04-6535057/3910), Pusat Islam Kampus Kejuruteraan (04-5995480/5481) dan Pusat Islam Kampus Kesihatan (09-7671061/1067).
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 717