PPS SEMARAK SEMANGAT MERDEKA ANJUR NYANYIAN SOLO LAGU PATRIOTIK
USM PULAU PINANG, 29 Julai 2021 – Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil satu lagi inisiatif menarik selain Pertandingan Doodle Kebangsaan Ke-64 dengan menganjurkan Pertandingan Nyanyian Solo Lagu Patriotik (dalam talian) bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 bermula 1 Julai hingga 31 Ogos 2021.
Menurut AJK Pertandingan, Shahril Effendi, pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia sahaja dan jenis lagu yang dipertandingkan adalah jenis lagu patriotik.
“Persembahan perlulah secara solo dan menggunakan bahasa Melayu serta tidak menyentuh sensitiviti masyarakat/kaum,” jelasnya yang menyatakan penggunaan sebarang efek pada vokal adalah dibenarkan.
Tambahnya, nyanyian mestilah dilaksanakan secara dalam talian dan peserta perlu mengambil video maksimum berdurasi 5 minit sahaja dan lengkap dengan kostum dan latar belakang yang sesuai.
Yuran pertandingan sebanyak RM50 akan dikenakan dan pemenang tempat pertama akan menerima RM500, kedua RM300 dan ketiga RM200 manakala semua peserta akan diberi sijil penyertaan. Keputusan juri adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak akan dilayan.
Pertandingan ini unik kerana pihak penganjur berhak untuk menambah bilangan pemenang dan pemenang akan dinilai berdasarkan kepada penyertaan yang diterima.
Jadi jomlah bersama-sama menyemarakkan bulan kebangsaan kali ini dengan menyertai pertandingan ini. Untuk makluman lanjut bolehlah menghubungi Shahril Effendi di 04-6534077 atau 013-3440136.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1677