USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INGRAW 2021: PELUANG SISWAZAH ANTARABANGSA TINGKAT KUALITI PENYELIDIKAN SAINS SOSIAL ISLAM

PULAU PINANG, 27 Julai 2021 – ISDEV International Graduate Workshop (INGRAW2021) yang masuk kali ke-15 penganjurannya pada tahun ini, memperlihatkan sejumlah 83 peserta membabitkan siswazah dari 9 buah negara berkumpul secara dalam talian bagi berkongsi idea dan kepakaran dalam bidang penyelidikan Sains Sosial Islam.

unnamed.png

Walaupun INGRAW 2021 diadakan secara dalam talian sepenuhnya berikutan wabak pandemik COVID-19, namun ia tetap berjaya menarik penyertaan siswazah antarabangsa dari Indonesia, Nigeria, Libya, Oman, Pakistan, Brunei, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Semestinya bengkel selama dua hari bermula 27 - 28 Julai 2021 yang diadakan secara dalam talian itu berupaya mengumpul dan melatih para siswazah peringkat Sarjana dan Kedoktoran (Ph.D) dari serata dunia untuk membincangkan hasil kajian masing-masing seterusnya berupaya menulis dan menerbitkan artikel jurnal yang bermutu tinggi.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, di bawah bidang utama Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam, INGRAW 2021 sejak awal penganjurannya telah menyediakan platform khusus kepada para peserta untuk membincangkan kajian-kajian di bawah lapan tema penting iaitu Pembangunan Berteraskan Islam, Pembangunan Institusi Islam, Ekonomi Politik Islam, Pengurusan Tadbir Urus Islam, Pengurusan Sumber Manusia secara Islam, Pengurusan Aset Islam, Ekonomi Islam dan Pengajian Islam.

“Semestinya saya amat yakin INGRAW 2021 membuka peluang kepada pembentang dan peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi peringkat antarabangsa berkumpul walaupun secara maya bagi menjana dan berkongsi idea supaya perkembangan ilmu di bawah Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam dapat disebarluaskan bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh pelusuk dunia,” kata beliau ketika berucap mewakili Naib Canselor merasmikan INGRAW 2021 secara dalam talian (online Webex).

Selain itu, beliau turut berharap dengan kejayaan penganjuran INGRAW 2021, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM dengan kepakaran yang ada pada pensyarah, pelajar dan para penyelidiknyadari dalam atau luar negara, boleh memanjangkan horizon penyelidikan masing-masing dalam agenda membina negara bangsa.

“Sudah tiba masanya ISDEV secara serius melakukan penyelidikan dalam bidang yang berkaitan sekurang-kurangnya dalam bidang Islamic Fintech dan Industri Halal.

“Banyak peluang yang boleh diambil manfaat, seperti Malaysia Grand Challenge mahupun I-CONNECT yang merupakan rangkaian kerjasama empat bidang strategik iaitu Industry 4.0, Fintech in Islamic Finance, Health & Wellness dan Halal Supply Chain bagi mewujudkan dan memupuk ekosistem inovasi yang kondusif,” kata Abdul Rahman.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas buat semua yang terlibat kerana walaupun diuji dengan penularan pandemik COVID-19, masih ramai yang boleh mengorbankan masa dan tenaga untuk menyediakan kertas-kertas kerja dalam bengkel tersebut.

Berucap pada majlis yang sama, Pengarah ISDEV USM, Prof. Madya Dr. Shahir Akram Hassan berkata, ISDEV akan meneruskan tradisi mengadakan bengkel INGRAW pada masa hadapan melalui kerjasama kukuh bersama Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM sejak awal penganjurannya, antara tujuan utama adalah untuk menyalurkan latihan kepada pelajar siswazah dalam penulisan dan penerbitan artikel jurnal berkualiti tinggi.

“Tahniah kepada jawatankuasa penganjur bengkel ini yang berjaya mengurus dengan baik dan berjaya mengumpul sejumlah 83 kertas kerja dari peserta tempatan dan antarabangsa walaupun dalam keadaan wabak pandemik COVID-19.

“Saya berharap dengan adanya pertukaran ilmu, kepakaran dan jaringan dapat dilakukan selepas berakhirnya bengkel edisi kali ini dan hasilnya siswazah-siswazah keluaran dari ISDEV bersedia memberi impak tinggi selepas bergraduasi nanti, seterusnya menyumbangkan inovasi buat institusi masing-masing,” kata beliau lagi.

Yang turut hadir bersama majlis perasmian secara dalam talian ini ialah Dekan IPS USM, Prof. Dr. Azlan Abdul Aziz; Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merangkap pembentang utama INGRAW 2021, Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohd Yusof Hj. Othman; Pengerusi INGRAW 2021, Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi serta para peserta bengkel.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 531

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024