SESI SEMBANG SANTAI SUKAN PSR DISAMBUT BAIK
USM PULAU PINANG, 25 Julai 2021 - Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) Universiti Sains Malaysia (USM) melalui laman media sosialnya, Arena Sukan USM hari ini mengadakan sesi sembang sukan secara dalam talian bertajuk “Apa Kata Hangpa? Emas Sulung di Bumi Tokyo” yang berfokus kepada perbincangan santai tentang kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dikendalikan sepenuhnya oleh staf USM, Pembantu Belia dan Sukan PSR, Mahadzer Mokhtar (moderator); Pegawai Nerve Centre USM, Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaafar (panel); dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Ahmad Norafandy Ahmad Yatim (panel), perbincangan santai pada malam minggu Ahad ini telah menarik minat netizen yang sedang hangat dengan debaran melihat aksi-aksi atlet negara yang sedang berjuang di Tokyo.
Perbincangan ini lebih kepada melihat pembangunan, komen-komen membina dan juga pendapat panel berkaitan sukan-sukan utama yang disertai Malaysia di Tokyo dan halatuju pembangunan sukan-sukan ini di masa hadapan untuk negara.
Di akhir sesi, Ahmad Norafandy atau lebih mesra dengan jolokan Coach Jibong diminta untuk meletakkan ramalannya terhadap pingat yang akan diperolehi negara dan beliau meramalkan Malaysia akan memperoleh 1 Emas, 2 Perak dan 1 Gangsa.
PSR USM sedang dalam proses dan rangka perancangan untuk menjalankan projek-projek dan pengisian sebegini pada ketika pandemik COVID-19 ini bagi menyemarakkan semangat semua warga USM dan umum untuk terus bersukan dan menerapkan elemen kesukanan dalam diri masing-masing walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk bersosial secara bersemuka untuk bersukan.
Sementara itu, Malaysia telah menghantar 30 atlet yang akan menggalas cabaran dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang bermula pada 23 Julai 2021 hingga 8 Ogos 2021.
Sebanyak 206 kontinjen mengesahkan penyertaan pada temasya sukan terbesar dunia ini yang telah tertangguh selama setahun akibat pandemik COVID-19.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 901