USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KANITA USM TUBUH VPSG TANGANI MASALAH EMOSI STAF DAN PELAJAR

USM PULAU PINANG, 23 Julai 2021 - Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mewujudkan Kumpulan Sokongan Rakan Maya (VPSG) sebagai satu usaha sokongan emosi staf dan pelajar terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  

VPSG diwujudkan untuk memberi ruang kepada mereka berbicara dan berkongsi mengenai cabaran, kesukaran, keprihatinan, kebimbangan atau kegelisahan hidup serta keperluan untuk bekerja sewaktu pandemik COVID-19 ini.

Pengarah KANITA USM, Profesor Dr. Noraida Endut berkata, ia terbuka kepada semua staf dan pelajar secara sukarela dan akan dikendalikan oleh sukarelawan dalam kalangan staf dan pelajar USM.

DSC_4603.JPG

Katanya, kumpulan sokongan ini akan berjumpa dan berinteraksi setiap minggu secara dalam talian selama 45 minit, membabitkan staf dan pelajar tempatan serta antarabangsa.

“Perjumpaan diadakan secara sukarela melalui KANITA, dan dibahagikan kepada kumpulan pelajar dan staf.

“Ia merupakan ruang untuk berkongsi apa sahaja terutamanya dalam suasana COVID-19, dan setiap permasalahan yang diluahkan merupakan rahsia antara kumpulan dan akan dipersetujui untuk tidak didedahkan kepada sesiapa pun,” katanya.

Noraida berkata, kesemua peserta perlulah menjaga adab semasa berkomunikasi bagi menjaga sensitiviti peserta lain.

Menurutnya lagi, setiap masalah yang dibincangkan akan dibawa kepada pengurusan universiti sekiranya isu tersebut kritikal dan memerlukan perhatian sewajarnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.kanita.usm.my .

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 458

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024