USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BAKAL MILIKI AZMAN HASHIM-USM SPORTS ARENA

usmtan1


PULAU PINANG, 2 Jun 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) bakal dilengkapi dengan kompleks sukan berbumbung dan pelbagai guna, dikenali sebagai Azman Hashim-USM Sports Arena yang dijangka siap sepenuhnya penghujung 2014.

Arena sukan dengan keluasan 54,880 kaki persegi itu akan menempatkan kemudahan-kemudahan tertentu termasuk ruang runcit dan pejabat, Pejabat Pembangunan Insaniah USM, dewan serbaguna, gimnasium eksekutif, gelanggang permainan indoor dan sebagainya.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, USM amat berbesar hati dan terhutang budi dengan sumbangan yang diberikan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim bagi menjayakan hasrat membangunkan kemudahan tersebut di USM.

Katanya, tokoh korporat berkenaan telah menyumbang dana berjumlah RM10 juta untuk pembinaan arena sukan itu melalui Yayasan Azman Hashim, yang turut terkenal dengan pelbagai sumbangan kepada pelbagai projek kebajikan dan pendidikan.

``Sudah tentunya kita amat gembira dan terhutang budi dengan kemurahan hati beliau dalam menyumbang kepada penambahan fasiliti dalam USM yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga kampus tetapi juga masyarakat di sekitarnya.

``Harapan kita apabila siap kelak pusat ini akan menjadi satu lagi mercu tanda hubungan akrab di antara Universiti dengan komuniti, sekaligus membantu USM merealisasikan usaha ke arah kelestarian kewangan,’’ ujarnya.

usmtan2

Tambah beliau, pusat tersebut juga akan turut dibuka kepada orang ramai namun keutamaan diberi kepada warga kampus dan juga para pelajar sekolah yang ketandusan gelanggang untuk menjalankan aktiviti sukan indoor.

Dalam pada itu, Azman pula menyifatkan, beliau turut gembira dapat menyumbang kepada pembangunan gedung ilmu dan berharap dengan adanya arena sukan tersebut dapat meningkatkan lagi kecintaan masyarakat kepada aktiviti sukan dan riadah.

Tambah beliau, pulangan yang bakal diperoleh melalui kemudahan yang ditawarkan di arena tersebut juga diharap dapat membantu dalam memberi manfaat kepada hal ehwal dan kebajikan pelajar serta universiti.

``Saya juga turut berterima kasih kepada semua di atas kesudian bekerjasama dengan Yayasan Azman Hashim bagi menjayakan projek ini,’’ katanya ketika berucap dalam majlis penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) berkenaan projek itu di sini baru-baru ini.

Turut mengulas keperibadian Azman, Ahli Lemabaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur pula berkata, nama Azman Hashim memang tidak asing dari bibir peminat sukan negara khasnya sukan tenis.

usmtan3

``Beliau bukan sahaja bijak dalam menguruskan hal ehwal korporat namun turut mempunyai bakat dan kemahiran tinggi dalam bidang sukan dan mewakili negara dalam acara tenis di pelbagai kejohanan tinggi,’’ katanya.

Dalam majlis yang sama juga turut dimuatkan upacara penyampaian cenderamata penghargaan kepada penderma koleksi-koleksi khas MGTF. Antara yang turut hadir termasuk mantan Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, pengkarya seni Pulau Pinang, Syed Bakar Syed Salim, Shamsul Bahari Abdul Mutalib dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad Danial Shahri.

 

  • Created on .
  • Hits: 4295

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024