E-GAMES: USM JOHAN UMMLCC MUSIM KETIGA NEGERI PULAU PINANG
USM PULAU PINANG, 25 Julai 2021 - Universiti Sains Malaysia (USM) melakar satu kejayaan hari ini dalam dunia Sukan Elektronik (E-Games) apabila menjadi Johan Kejohanan U Mobile Mobile Legends Campus Championship (UMMLCC) Musim Ketiga 2021 peringkat negeri Pulau Pinang.
Perlawanan Pusingan Akhir peringkat negeri Pulau Pinang yang berlangsung sebentar tadi telah dimenangi oleh USM melalui pasukannya Proxy Alliance yang telah menewaskan pencabar terdekat daripada Politeknik Balik Pulau dengan pasukannya PBU Terbang.
Dengan kejayaan ini, pasukan USM membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,350 beserta 600 berlian dan akan mewakili negeri Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan yang akan menawarkan hadiah wang tunai yang lebih lumayan dengan juara bakal memenangi wang tunai sebanyak RM10,000.
Pasukan Proxy Alliance dianggotai oleh Muhammad Hafizam Afiq, Muhammad Naim, Izlan, Mohamad Anwar dan Muhammad Suffi Fazari.
Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Haji Idrus Haji Rapie mengucapkan tahniah dan bangga akan kejayaan pelajar USM itu serta berharap sukan E-Games seperti ini akan terus diberi perhatian untuk USM memperolehi kejayaan di samping sukan-sukan fizikal yang sedia ada.
“Dalam keadaan sekarang yang membataskan sedikit sebanyak aktiviti sukan untuk diadakan, aktiviti dan kejohanan E-Games seperti ini juga dapat dijadikan sebagai salah satu platform sukan yang boleh disertai pelajar-pelajar,” katanya.
Selepas penyertaan pasukan-pasukan besar daripada pelajar di seluruh negara pada tahun 2020, U Mobile kembali semula dengan kejohanan yang dinanti-nantikan ini dan menandakan Musim Ketiga acara E-Sukan popular ini. Kejohanan ini bermula selama tempoh 7 bulan dari Mei 2021 hingga November 2021.
U Mobile Mobile Legends Campus Championship (UMMLCC), bermula pada tahun 2019, telah mengumpulkan banyak pengikut dan peminat dengan kejohanan kampus terbesarnya di negara ini, menarik lebih 277 pasukan dari lebih 100 universiti, dan mencapai rekod tertinggi 1 juta peminat pada penonton dalam talian untuk Kejuaraan Musim Kedua.
Tahun ini, Musim Ketiga diperluas lagi kategorinya terutama untuk segmen sekolah menengah, dengan hadiah kumpulan kejohanan bernilai lebih dari RM60,000 dan 32,520 berlian untuk dimenangi.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 647