USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BHEPA EDAR 1,000 PEK MAKANAN PELAJAR SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA

NIBONG TEBAL, 20 Julai 2021 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) mengedarkan 1,000 pek makanan kepada pelajar yang masih berada di dalam kampus sempena sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Menurut Penolong Pendaftar Kanan BHEPA, Samsuri Musa, pemberian pek makanan ini adalah di atas inisiatif serta saranan Pengarah Kampus yang mahu pelajar-pelajar di kampus disantuni semasa hari perayaan ini.

WhatsApp_Image_2021-07-25_at_09.44.14.jpeg

Semoga pemberian makanan ini akan menggembirakan pelajar-pelajar kita memandangkan mereka sedang bertungkus-lumus dalam menghadapi peperiksaan akhir pada ketika ini.

“Kami di BHEPA juga berharap agar mereka dapat mengekalkan fokus dan kecemerlangan masing-masing pada tahap yang maksimum walaupun berdepan dengan cabaran sesi pembelajaran secara dalam talian sejak pandemik COVID-19 melanda dunia pada tahun 2019,” kata Samsuri.

WhatsApp_Image_2021-07-25_at_09.44.15.jpeg

Sebahagian daripada program #USMPRIHATIN Kampus Kejuruteraan USM, edaran makanan ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pengarah Kampus, BHEPA dan Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Kampus Kejuruteraan.

Bagi Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, idea ini tercetus setelah menilai situasi pelajar yang sedang bertungkus-lumus menduduki peperiksaan akhir sambil berhadapan dengan cabaran situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pemberian makanan ini diharap dapat menyampaikan tanda ingatan, kasih dan prihatin kami di pihak pengurusan kepada mereka apatah lagi dalam menyambut hari perayaan seperti hari ini,” kata Azazi.  

“Malah, saya berharap agar usaha murni ini dapat menjadi contoh kepada pihak lain yang perlu diteruskan dari semasa ke semasa dan bukan hanya tertumpu pada tempoh PKP ini sahaja memandangkan kebajikan pelajar adalah tanggungjawab kita sentiasa,” tambah beliau.

Selain BHEPA, sesi penyerahan pek makanan pagi, tengah hari dan malam itu turut melibatkan 20 orang urus setia pelajar yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan ahli jawatankuasa Desasiswa Jaya Lembaran Utama Kampus Kejuruteraan.

WhatsApp_Image_2021-07-25_at_09.44.16.jpeg

 Teks: Siti Faizah Abd Halim

  • Created on .
  • Hits: 588

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024