USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBADAH KORBAN DAN PENGORBANAN WARGA KAMPUS SEPANJANG PANDEMIK

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Julai 2021 - Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa. Itu antara bait-bait indah lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang masih tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas hingga ke hari ini.

Bila berbicara mengenai pengorbanan, rata-rata umat Islam menjadikan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai ibrah pengorbanan yang paling agung.

Kini, kita semua sedang melalui kehidupan yang menuntut pengorbanan dari pelbagai sudut tidak kira siapa atau apa pun pangkat kita. Nyata wabak COVID-19 menjadikan setiap daripada kita berkorban dengan cara sendiri.

Bercakap tentang pengorbanan, Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kampus yang telah banyak berkorban sepanjang penularan wabak COVID-19.

WhatsApp_Image_2021-07-24_at_01.46.34_1.jpg

"Saya tahu, ramai di antara kita khususnya para pelajar yang terkesan dengan penularan COVID-19 ini. Kepada pelajar yang mengambil keputusan untuk kekal berada di dalam kampus menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran, saya harap mereka terus bersabar dan jalani rutin seperti biasa dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sama ada oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pengurusan Universiti mahupun Pengurusan Kampus Kesihatan sendiri.

"Pengurusan Universiti menerusi Nerve Centre Kampus Kesihatan sentiasa memastikan kebajikan pelajar terjaga terutama ketika sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidiladha, yang mana juadah raya serta makanan diedarkan kepada para pelajar dan ini semua adalah sumbangan daripada pelbagai jabatan serta individu dalam kalangan warga kampus sendiri," ujarnya.

Beliau yang ditemui semasa program ibadah korban staf di Masjid Mukim Kampus Kesihatan turut menzahirkan kegembiraan kerana pada tahun ini, ibadah korban dapat dilaksanakan biarpun dalam bilangan haiwan korban yang sedikit serta pematuhan SOP yang ketat.

"Syukur, Aidiladha kali ini kita dapat melakukan ibadah korban dengan norma baharu. Biarpun dalam apa jua keadaan, pastikan kita menghayati erti pengorbanan yang sebenarnya kerana jika hendak dibandingkan pengorbanan kita dengan kisah Nabi Ibrahim, ia terlalu jauh.

"Dalam keadaan pandemik yang masih tidak stabil ini, saya berharap mana-mana warga kampus yang terkesan terutama mereka yang tinggal di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),  sentiasa berhubung dengan rakan-rakan di pejabat, Ketua Jabatan atau mana-mana pihak di kampus agar bantuan dapat disalur jika diperlukan," katanya.

Shaiful turut menasihatkan warga kampus yang akan kembali bertugas supaya mengisi borang 'Deklarasi Risiko COVID-19' jika ada melakukan sebarang pergerakan atau mengalami mana-mana simptom berkaitan COVID-19.

"Saya menyeru agar semua staf mahupun pelajar jujur semasa mengisi borang deklarasi kerana menyembunyikan sebarang maklumat boleh mendatangkan pelbagai masalah bukan sahaja kepada dirisendiri tetapi juga rakan sekerja, orang sekeliling malahan pesakit yang datang mendapatkan rawatan," jelasnya lagi.

WhatsApp_Image_2021-07-24_at_01.46.34.jpeg

Shaiful juga mengharapkan warga kampus yang masih belum membuat pendaftaran agar segera mendaftar untuk menerima vaksin supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok (herd immunity) untuk peringkat kampus.

Sebagai rekod, setakat ini 85 peratus staf Kampus Kesihatan telah menerima suntikan vaksin.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 509

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024