USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC LANCAR SUKARELAWAN PERTAMA NEGARA UNTUK MYSIHAT

usmroko

PULAU PINANG, 31 Mei 2013 -  Universiti Sains Malaysia (USM) berusaha memastikan terdapat hala tuju yang jelas dalam segala tindakan yang berkaitan dengan usaha kelestarian di universiti yang dapat memberikan impak besar kepada negara dan dunia.

Untuk itu USM telah menubuhkan Majlis Kelestarian Universiti  yang akan membina dasar-dasar yang jelas dalam akademik dan penawaran kursus, penyelidikan serta aktiviti-aktiviti kelestarian melalui penglibatan seramai mungkin warganya. 

Majlis ini akan mula bergerak pada bulan Jun untuk memastikan USM dapat menjadi agen yang memberi kesan positif dan impak  kepada dunia seluruhnya.

Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman  ketika merasmikan Karnival Promosi Kesihatan dan melancarkan Pasukan Sukarelawan MySihat di Dewan Pembangunan Siswa di sini pagi ini.

Pasukan Sukarelawan USM yang terdiri daripada kira-kira 300 orang pelajar ditubuhkan bagi menjayakan agenda MySihat terutamanya  Kampus Bebas Tembakau.

"Saya harap pasukan ini dapat membantu MySihat untuk tingkatkan kesihatan penduduk bukan sahaja dalam kalangan warga kampus tetapi juga di mana jua anggota pasukan ini berada," kata Naib Canselor.

Tambahnya lagi,  sebagai Pasukan Sukarelawan pertama MySihat di Malaysia, siswa-siswi wajar menjadi agen sokongan kepada infrastruktur  kesihatan yang boleh membantu rakyat yang seharusnya bermula dengan diri sendiri.

"Sukarekawan bukan menjadi pendesak tetapi berusaha untuk menggerakkan orang lain secara sukarela, membantu untuk wujudkan aktiviti yang sihat secara berterusan, mengamalkan gaya hidup sihat untuk diri sendiri dan agen penggerak program-program Lembaga Kesihatan Malaysia," jelas Omar.

Naib Canselor USM itu turut mencadangkan agar Sukarekawan MySihat memasukkan aspek kesihatan mental dalam program yang diadakan, agar kesihatan mental dipelihara, adab sopan dan kesantunan, terdapat nilai-nilai keikhlasan dalam senyum dan  dalam setiap tindakan, seimbang dalam gerak kerja dan objektifnya.

Hadir sama pada majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif MySihat Dato' Dr. Yahya Baba, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Susie See Ching Mey, Pengarah Pusat Racun Negara, Profesor Abdul Razak Lajis dan Pengerusi Jawatankuasa Penghakupayaan Kampus Bebas Tembakau, Azmi Hassan.

Karnival Promosi Kesihatan diadakan juga bersempena dengan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2013 yang disambut pada 31 Mei setiap tahun di seluruh dunia yang bertemakan "Ban tobacco advertising, promotion and sponsorship" atau Melarang pengiklanan, promosi dan penajaan tembakau dan ini merupakan salah satu perkara penting yang terkandung di dalam Polisi USM Bebas Tembakau.

Karnival ini merupakan aktiviti pertama daripada satu siri program bina upaya Sukarelawan USM-MySihat yang bermula pada tahun ini dan akan berlangsung selama 3 tahun dan mensasarkan 1500 orang pelajar di ketiga-tiga kampus USM.

Program Sukarelawan USM-MySihat ini lahir daripada Projek USM Bebas Tembakau dan merupakan projek libatsama komuniti USM dengan kerjasama Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan diharap dapat menghasilkan Duta USM-MySihat yang dapat memimpin aktiviti promosi kesihatan khususnya dalam aspek kawalan tembakau. 

Objektif karnival ini ialah untuk mendedahkan para pelajar kepada konsep asas dalam promosi kesihatan dan juga untuk memberi pengalaman praktikal berkaitan komponen promosi kesihatan kepada sukarelawan pelajar. Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1953

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024