USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPV USM “BERAYA” AIDILADHA

USM PULAU PINANG, 21 Julai 2021 - Satu keunikan timbul tatkala soal keseriusan masih menjadi keutamaan di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang masih berjuang untuk memberi sebanyak suntikan yang boleh saban hari agar negara dapat mencapai sasaran imuniti kelompok secepat seperti yang dirancangkan.

Hari ini, hari kedua Hari Raya Aidiladha yang disambut seluruh umat Islam di sini menyaksikan petugas-petugas PPV di Dewan Utama Pelajar (DUP) Universiti Sains Malaysia (USM) mengenakan pakaian kebangsaan ataupun baju raya untuk bertugas melayan penerima vaksin.

Menurut Pengurus Operasi PPV USM, Zulkifli Che Hussin, idea ini timbul apabila para petugas dan sukarelawan yang kesemuanya terdiri daripada warga USM sendiri (staf perubatan, staf akademik dan bukan akademik, pelajar malah pesara USM) memberi cadangan secara spontan demi memeriahkan lagi suasana di PPV USM pada hari ini.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_11.30.50.jpeg

“Setiap hari bekerja kita akan menerima hampir 800 orang penerima vaksin dan ini merupakan bulan kedua PPV ini beroperasi, jadi, idea sebegini sedikit sebanyak dapat memberi motivasi dan mengurangkan tahap stress para petugas dan sukarelawan,” katanya.

Bagi petugas kaunter pendaftaran, Marlina Ahmad Jaafar, beliau menyifatkan perkara ini sebagai satu yang positif untuk memberi semangat kepada semua petugas lain untuk terus kekal fokus dan ceria dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“USM sebagai salah sebuah universiti yang terkenal seharusnya dapat mewujudkan suasana sebegini selain hari ini supaya moral petugas-petugas di pusat ini akan terus gembira untuk hari-hari mendatang sehingga program ini selesai sepenuhnya,” tambahnya yang merupakan staf di Pusat Sejahtera USM.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_11.29.43_4.jpeg

Sementera itu, bagi petugas kaunter pemerhatian, Khairul Azhar Jaafar, ini merupakan sesuatu yang baik dan bijak untuk dilaksanakan kerana penerima vaksin yang hadir hari ini juga akan berasa positif dan tidak gentar apabila melihat ‘gelagat’ petugas PPV USM yang berpakaian hari raya sebegini.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_13.01.10.jpeg

“Jadi, ini merupakan win-win situation bagi semua pihak mahupun di pihak petugas PPV dan penerima vaksin, suasana yang ceria telah diwujudkan walaupun secara dasarnya peperangan untuk melawan pandemik ini masih belum berakhir,” ujarnya yang merupakan staf Pusat Pengajian Teknologi Industri USM.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_11.29.43_2.jpeg

Bagi sukarelawan daripada kalangan pelajar pula, ini adalah salah satu cara bagi mereka untuk meraikan hari raya aidiladha kali ini tatkala jadual yang padat dengan peperiksaan akhir semester yang dilalui dan juga pada yang belum atau tidak dapat pulang lagi ke kampung halaman.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_13.05.19.jpeg

PPV USM ini mula beroperasi pada 18 Jun 2021 dan gempar 2 minggu lalu apabila menerima kehadiran seorang penerima vaksin yang diberi gelaran “uncle plastic” sehingga tular dan mendapat liputan yang sangat meluas dari media-media utama negara dan luar negara.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 2077

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024