USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ATLET SUKAN SEA SANDANG ANUGERAH UNGU

DSC 0274PULAU PINANG, 28 Mei 2013 – Mandy Yeap Mun Xin, 24, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Pengurusan dianugerahkan Anugerah Ungu, anugerah yang tertinggi di dalam Majlis Anugerah Sukan USM kepada atlit yang mempunyai prestasi cemerlang dan mewakili Universiti, negeri dan Negara.

Beliau yang akan bergraduasi pada tahun depan mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dalam karier sukan beliau terutama Pusat Sukan dan Rekreasi USM.

 “Saya telah berkecimpung dengan sukan renang sejak berumur 14 tahun dan memenangi tiga pingat emas di Sukan SEA pada tahun 2011 bagi acara renang berirama,” kata Mandy yang juga memenangi satu pingat emas bagi SUKIPT 2012 dan tiga gangsa bagi MASUM 2013.

Jocelyn Chai Shwu In dan Lim Chee Wei telah dinobatkan sebagai olahragawati dan olahragawan pada majlis yang sama. Jocelyn adalah atlit Taekwando bagi kategori Poomsae manakala Lim adalah atlit karate-do membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil, wang tunai dan juga baucer penaja. Jocelyn memperolehi pingat emas pada SUKIPT 2012 serta akan menyertai World Poomsae Championship pada November ini dan juga Sukan SEA.

“Saya berharap untuk terus menyertai pertandingan-pertandingan antarabangsa pada masa hadapan dan terus mengharumkan nama Malaysia amnya dan USM khususnya,” kata Jocelyn.

Lim, berjaya menempatkan diri di kelompok atlet Negara dengan memenangi emas di Kejohanan South East Asian Karate-Do Federation Championship di Filipina, South East Asia Karate –do Championship di Bangkok dan 16th ASEAN Univesity Games di Laos. Selain itu, beliau telah dinobatkan Olahraga Harapan di Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2012 dan calon atlit universit terbaik lelaki di Anugerah Sukan MASUM 2012.

usmsukan

Seramai 68 orang pelajar dianugerahkan warna penuh, 9 orang separuh warna dan 48 orang menerima Sijil Khidmat Cemerlang bagi jasa dan pengorbanan yang diberikan untuk bidang sukan bagi sesi akademik 2012/2013. Di samping itu, turut disampaikan anugerah Pasukan Terbaik Lelaki/Wanita (kurang daripada 7 orang), Bintang Harapan Lelaki/Wanita dan penghargaan kepada jurulatih dan ketua pasukan.

 “Moto ‘Kami Memimpin’ sangat praktikal dalam bidang sukan ini kerana ramai di kalangan ahli tertinggi USM terlibat dengan sukan. Contohnya, Prof Adnan Hussin, Prof. Dato’ Rosihan Mohamed Ali dan Prof Muhamad Jantan. Perkara seperti ini memang tidak dapat ditandingi oleh universiti lain,” ucap Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dalam ucapan beliau.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian para pelajar dan staf dalam bidang sukan dengan adanya yang terpilih mewakili Malaysia ke Universiade di Kazan, Rusia pada bulan Julai ini dalam acara renang dan catur,” jelas beliau lagi.

Pada majlis yang sama, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi, Muhamad Mohd Hanif melaporkan kejayaan manis atlit USM serta pencapaian lain di dalam bidang sukan. Di samping itu, beliau juga memaklumkan bahawa penajaan bagi syarikat-syarikat swasta semakin meningkat berbanding tahun lalu begitu juga dengan jumlah sukarelawan di kalangan pelajar.

Turut hadir menyaksikan majlis kejayaan pelajar ini ialah isteri Naib Canselor, Datin Noraizan Jamaludin, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Prof. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Muhamad Jantan dan isteri dan wakil Nestle Products Sdn. Bhd., Mohd Hanif Haron.  Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

 

 

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 2553

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024