USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUMBANGAN B40 KKAUSM PELIHARA KEBAJIKAN AHLI

NIBONG TEBAL, 18 Julai 2021 – Kesatuan Kakitangan Am Universiti Sains Malaysia (KKAUSM) baru-baru ini telah menganjurkan satu majlis sumbangan ringkas kepada ahli dari kalangan B40 sebagai salah satu usaha untuk membantu meringankan beban mereka dalam situasi pandemik semasa.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung kesatuan berkenaan, Nor Amin Ahmad ketika diminta untuk mengulas mengenai sumbangan tersebut yang berlangsung pada 14 Julai yang baru berlalu.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_00.29.55_1.jpeg

“Melalui sumbangan ini, dapat kita tunjukkan nilai kesatuan dalam menyantuni para ahli sambil mengamalkan konsep dari ahli kepada ahliyang mana peruntukan yang disalurkan adalah daripada keahlian mereka dan ahli-ahli lain di KKAUSM itu sendiri,” kata beliau.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_00.29.55.jpeg

“Malah, kesatuan perlu memastikan kebajikan setiap daripada 2,847 ahli adalah terpelihara tanpa perlu memohon bantuan luar yang lain seperti mengibarkan bendera putih contohnya,” tambah Amin yang merupakan Penjaga Jentera Elektrik di Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) USM induk ini.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang dihubungi untuk mengulas akan penyerahan itu berkata, beliau berbesar hati akan setiap usaha yang dijalankan oleh setiap kakitangan kampus tanpa mengira status mahupun jawatan.

“Perkara ini secara tidak langsung dapat menunjukkan akan rasa tanggungjawab kita bersama-sama untuk membantu mereka yang memerlukan dengan tujuan yang sama iaitu untuk memastikan kesejahteraan kakitangan terus diberikan perhatian,” kata Azazi.

Bagi menentukan penerima sumbangan, KKAUSM telah menjalankan saringan akhir melalui satu tinjauan secara Google Form yang mana setiap ahli diberikan pautan dan diminta untuk mengisi maklumat masing-masing.

Salah seorang daripada penerima sumbangan yang merupakan Pembantu Awam di JPPA Kampus Kejuruteraan, Sundarjit Singh A/l Avatar Singh merakamkan ucapan terima kasih beliau kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan bantuan ini.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_00.29.54.jpeg

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami dan jasa ini semestinya tidak akan dilupakan,” kata Sundarjit Singh.

Kesemua 30 ahli kesatuan yang merangkumi 10 dari Kampus Induk, 10 dari Kampus Kesihatan, lima dari Kampus Kejuruteraan dan lima dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) menerima sumbangan yang berupa beras, biskut, susu, gula, minyak dan beberapa keperluan asas yang lain.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abd Rahman

  • Created on .
  • Hits: 700

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024