USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBADAH KORBAN DENGAN SOP KETAT TIDAK JEJAS SEMANGAT KARIAH

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Julai 2021 - Hari Raya Aidiladha merupakan hari yang cukup bermakna bagi seluruh umat Islam apatah lagi jemaah yang sedang mengerjakan ibadat haji di tanah suci.

Dua tahun berturut-turut Aidiladha disambut dalam kesuraman lantaran wabak COVID-19 berleluasa dan melenyapkan kemeriahan sambutan hari raya yang selama ini dinanti-nanti oleh semua golongan tidak kira tua atau muda.

Kesayuan makin menggigit tangkai hati di saat takbir bergema memuji Ilahi, namun suasana di perkarangan masjid nyata sepi tanpa jemaah yang sebelum ini memenuhi ruang solat sebelum berkumpul melakukan ibadah korban di perkarangan masjid.

Menurut Pemangku Timbalan Pengarah (Pentadbiran) Pusat Islam, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Ustazah Amira Abdul Sattar, kebenaran oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk pengurusan masjid melaksanakan ibadah korban pada tahun ini disambut baik.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_00.07.25.jpeg

"Alhamdulillah pada tahun ini dua (2) ekor lembu akan dikorbankan pada hari raya pertama untuk peserta yang terdiri daripada kariah masjid manakala tiga (3) ekor lagi akan dikorbankan pada raya kedua yang mana peserta adalah dalam kalangan staf USM.

"Dari segi pengagihan pula, peserta yang melakukan ibadah korban pada hari ini akan datang mengambil bahagian korban masing-masing dan mereka akan agihkan sendiri manakala untuk agihan pada hari kedua, pihak pengurusan masjid telah mengenalpasti anak-anak mukim masjid yang akan menerima sumbangan daging korban tersebut," ujar beliau.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Mukim Kampus Kesihatan USM, Mohammad Khairuddin Jailani pula berkata, biarpun bilangan lembu korban tidak banyak namun peluang melaksanakan semula ibadah korban di masjid amat dihargai.

WhatsApp_Image_2021-07-21_at_00.07.26.jpeg

 

"Walaupun dibenarkan untuk melakukan korban dengan jumlah yang lebih besar, namun pengurusan masjid bersetuju menetapkan hanya lima (5) ekor sahaja bagi memastikan aktiviti tersebut dapat dilaksanakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MAIK sendiri.

"Peluang ini sedikit sebanyak mengubat hati para kariah yang tidak berpeluang melaksanakan ibadah korban pada tahun lepas akibat pandemik COVID-19," jelasnya.

Beliau turut menyeru seluruh umat Islam untuk terus berdoa agar wabak COVID-19 segera berlalu dan kita dapat kembali menjalani rutin kehidupan harian seperti biasa.

"Sama-sama kita bermuhasabah dan memohon kepada Allah agar segalanya kembali pulih dan kita semua dapat berjemaah seperti biasa di masjid.

"Usah kita jadikan alasan tidak dapat datang di masjid untuk kita meninggalkan terus solat berjemaah kerana konsep berjemaah itu sendiri boleh diamalkan di rumah bersama keluarga," katanya lagi.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 607

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024