USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI AIDILADHA DENGAN SOP KETAT

USM PULAU PINANG, 20 Julai 2021 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) terus menghidupkan suasana Aidiladha hari ini dengan melaksanakan ibadah korban dan juga sembahyang sunat hari raya aidiladha dalam suasana SOP yang ketat tatkala pandemik COVID-19 yang masih dalam keadaan membimbangkan.

Dalam khutbah hari raya aidiladha bertajuk Ujian dan Pengorbanan (Pengorbanan Tanpa Henti) yang disampaikan kepada 100 jemaah yang hadir pagi ini oleh Ustaz Mohd Fakrur Amirul Mohamad Rodzi, beliau berpesan kepada semua sebagai tanda keimanan dan kesyukuran kepada Allah SWT, semua umat diminta terus perbanyakkan lafaz takbir, tahlil dan tahmid bermula selepas solat subuh, 9 Zulhijjah dan sepanjang hari/hari tasyri selaras dengan perjuangan semua dalam memerangi pandemik COVID-19.

WhatsApp_Image_2021-07-20_at_12.09.13_3.jpg

Menurutnya, sambutan aidiladha sangat berkait dengan pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim dan lihatlah bagaimana ketaatan yang ditunjukkan oleh Baginda dan isterinya Hajar dan anaknya Ismail terhadap segala perintah Allah.

“Namun Nabi Ibrahim tetap cekal mengharungi segala ujian tersebut dengan sabar dan bergantung harap kepada Allah dan inilah pengorbanan tanpa henti yang perlu menjadi teladan kepada seluruh umat Islam apabila ketaatan kepada perintah Allah lebih utama daripada kehendak diri sendiri,” jelasnya lagi merujuk kepada teks khutbah yang dibaca.

Tambahnya lagi, amalan berdoa yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dalam kisah ini haruslah menjadi ikutan kita bersama di saat kita diuji dengan pelbagai ujian termasuk pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan pengakhirannya.

“Janganlah kita berasa letih untuk terus berdoa kerana kita perlu yakin bahawa doa yang baik pastinya dimakbulkan oleh Allah SWT,” tegasnya lagi.

Ibadah korban kali ini di USM mengumpulkan sebanyak 17 ekor lembu dan 15 ekor kambing yang dikorbankan mengikut hari-hari yang telah diberikan kebenaran oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

WhatsApp_Image_2021-07-20_at_12.13.09_1.jpeg

Agihan daging akan dibuat mengikut S.O.P yang ketat iaitu semua pihak berkenaan diminta untuk merujuk kepada tarikh dan waktu agihan daging qurban yang disertakan bersama-sama kupon dalam talian.

Sementara itu, solat sunat aidiladha di Masjid Al-Malik Khalid USM diimamkan oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam, Ustaz Zayd Zhari.

WhatsApp_Image_2021-07-20_at_12.13.09.jpeg

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 634

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024