USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BELAJAR TEKNIK ‘EMOTIONAL DEFUSION’

USM PULAU PINANG, 17 Julai 2021 - Marilah kita bersama-sama mempelajari teknik berkaitan dengan Emotional Defusion (Kekeliruan Emosi) dengan cara yang paling efektif melalui berkawan dengan perasaan dan bukan berlawan dengannya.

Demikian nasihat yang diberikan oleh Pakar Psikiatri yang merupakan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria.

Dr._Rozanizam_Zakaria.jpg

Menurutnya, apabila datangnya fikiran yang membuat kita berasa cemas, takut, kecewa, sedih, panik, tiada harapan, bunuh diri dan seangkatan dengannya, kita perlulah berhenti sekejap dari melakukan apa-apa dan mengambil satu nafas yang panjang.

“Kemudian beritahu diri sendiri, saya bukannya cemas, cuma sekarang saya berfikiran bahawa kegelisahan sedang menyinggah pada diri saya,” jelasnya yang juga merupakan alumni USM.

Ulas lanjutnya, ini bukanlah dikatakan tekanan, cuma perasaan tekanan yang sedang lalu dan menyapa diri individu tersebut.

“Konsepnya ialah untuk melihat semula pemikiran kita bahawa emosi/fikiran itu tidak mendefinisi siapakah diri kita, ia hanyalah fikiran/perasaan yang datang dan pergi untuk sesuatu masa tersebut,” katanya.

Tambahnya dengan memberi perumpamaan yang unik, janganlah melawan, tetapi berkawanlah dengan emosi dan perasaan tersebut, seperti seekor lebah yang singgah, bila kita gelabah, dia pun cuak. Lantas ia pun menggigit kita. Padahal niat asalnya untuk menyinggah sahaja.

Konsep emotional defusion ini hampir sama dengan Step S (Step Away) dalam teknik NASA yang pernah dikongsikan beliau iaitu “Accept, Step away and Act according to your values.”

Merungkainya, kita step away dari emosi, meletakkan emosi pada tempatnya serta meletakkan sempadan pada emosi dan fikiran agar emosi dan fikiran ini tidak menjadi penentu kepada tindakan kita seterusnya.

Dr. Rozanizam Zakaria merupakan Pakar Psikiatri dan juga alumni USM daripada kursus Sarjana Perubatan (Psikiatri) pada tahun 2017.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 847

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024