PICK: 232 SUKARELAWAN PELAJAR KEJURUTERAAN SUMBANG TENAGA DI PPV USM
NIBONG TEBAL, 12 Julai 2021 – Seramai 232 orang pelajar Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) turun padang menjadi sukarelawan di dua Pusat Pemberian Vaksin USM - PPV@USM dan PPV Sains@Bertam - di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut seorang sukarelawan pelajar yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan, Kamal Safwan Jamaludin (tahun empat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam), mereka perlu bersedia seawal 6.30 pagi bagi memastikan mereka tiba di PPV sebelum 8.00 pagi dan perlu memulakan tugas tepat 9.00 pagi.
“Kami di sini membantu dalam tugas-tugas bukan klinikal di stesen-stesen yang berbeza dari stesen saringan suhu, mengimbas kod MySejahtera, pendaftaran sehinggalah ke stesen terakhir iaitu stesen pemerhatian.
“Kebiasaannya, sukarelawan akan selesai menjalankan tugas masing-masing sekitar 6.00 petang dengan mengemas PPV serta bilik gerakan dan seterusnya bergerak balik ke Kampus Kejuruteraan,” katanya.
Katanya lagi, PPV menjadi platform kepada siswa dan siswi untuk berbakti kepada masyarakat dan juga dapat membantu meredakan tekanan dalam kalangan pelajar ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan pelajar bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Aldrin Abdullah baru-baru ini turut turun padang meninjau operasi PPV Sains@Bertam sambil menyantuni dan memberi kata-kata semangat kepada sukarelawan pelajar Kampus Kejuruteraan yang bertugas di sana.
Beliau telah dibawa melawat kesemua stesen dan fasiliti yang ada di PPV Sains@Bertam>, yang memberi perkhidmatan pemberian vaksin khususnya kepada penduduk Kepala Batas dan Seberang Perai Utara sejak ia mula beroperasi 18 Jun 2021 yang lalu.
PPV@USM dan PPV Sains@Bertam merupakan PPV Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang ditubuhkan di bawah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan persetujuan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 1 Jun 2021 dengan hasrat untuk membantu PICK.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Kamal Safwan Jamaludin
- Created on .
- Hits: 685