USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERANAN BELIA DI ERA DISRUPTIF DAN PANDEMIK PERLU DIPERKASA

USM PULAU PINANG, 15 Julai 2021 - Simposium Belia: Mewawaskan Semula Masa Depan Kerja Dalam Era Disruptif dan Tidak Terjangka anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung kelmarin mendapat sambutan yang baik dengan topik-topik yang terkini untuk difahami.

WhatsApp_Image_2021-07-16_at_05.45.15.jpeg

Objektif utama penganjuran Simposium Belia itu ialah untuk menyediakan wacana kepada pelbagai pihak berkepentingan untuk bertukar idea dan pandangan dalam memperkasakan golongan belia dalam pertembungan Era Disruptif dan Pandemik COVID-19 dan sekaligus memacu peranan belia sebagai tulang belakang negara bagi mencapai inti pati Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG).

Era Disruptif (Disruptive Era) adalah zaman ‘gangguan’ kepada aturan sedia ada dan ia dikaitkan dengan kemajuan teknologi baru yang mengubah model perniagaan dan kehendak pelanggan dalam pelbagai sektor.

Revolusi teknologi tersebut telah mewujudkan permintaan terhadap kepelbagaian pekerjaan baru serta mentransformasi trend pekerjaan semasa dan masa depan kerja (Future of Work).

Demikian antara pengisian yang menarik yang dapat dilihat berkaitan program ini. Ia dilangsungkan bersempena dengan 7th Global Higher Education Forum “Discruptive Era: Higher Education at the Crossroads” melalui sekretariat Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN).

Mengupas lanjut, kemunculan pandemik COVID-19 yang tidak terjangka telah memberi impak signifikan kepada ekosistem pasaran tenaga kerja yang jauh lebih pantas daripada mana-mana pembangunan kemajuan teknologi.

Tenaga kerja belia sangat rentan terhadap krisis ekonomi global yang disebabkan oleh penularan pandemik ini. Sebelum krisis ini melanda, peningkatan isu pengangguran, ketidakbolehpasaran dan ketidaksepadanan kemahiran di pasaran pekerjaan telah berlaku dalam kalangan belia dan graduan. Hal ini bertambah teruk selepas penularan wabak COVID-19.

Krisis semasa itu memberi isyarat kepada golongan belia untuk memasuki era tenaga kerja baru bagi menghadapi kepesatan kemajuan teknologi dan beradaptasi dengan keadaan yang tidak terjangka untuk memenuhi permintaan pasaran kerja masa depan.

Golongan belia juga perlu meningkatkan daya tahan mereka bagi menghadapi dinamik landskap pasaran kerja masa kini yang VUCA - Volatile (bergejolak), Uncertain (tidak pasti), Complex (kompleks), dan Ambiguity (tidak jelas).  

Simposium Belia menyediakan platform kepada pelbagai pihak berkepentingan terutama golongan belia bagi memahami isu dan cabaran serta berkongsi pandangan, idea dan inovasi.

Ia turut mendapat penglibatan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), USMdan Jabatan Belia dan Sukan Negara (Kementerian Belia dan Sukan, KBS).

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah 

  • Created on .
  • Hits: 1131

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024