PESANAN UNTUK ORANG YANG MARAH
Julai 2021 - Marah itu adalah emosi yang singgah dalam hidup kita. Sebagai contoh, kita tuan rumah, dia tetamu dan biar kita tentukan mana tetamu nak duduk dan berapa lama dia nak singgah dan bukan sebaliknya.
Demikian merupakan pengisian yang dapat diterjemahkan oleh Pakar Psikiatri yang merupakan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria yang menerangkan bahawa marah terbit dari amygdala, rasional terbit dari prefontal cortex.
Katanya, Amygdala bermaksud tidak berfikir panjang, sebabnya ia berkehendakkan untuk “fight” atau “flight” sahaja, sedangkan prefontal cortex menimbang baik buruk, dosa pahala, maslahat pendek dan panjang.
“Tidak ada masalah yang pernah selesai dengan marah, biasanya ia mencipta masalah seterusnya.
“Ingat, “patience provides perspective” iaitu bersabar sebentar, beri ruang untuk bernafas, dan apabila kita tenang, baru perspektif yang betul itu akan timbul dan kesabaran akan datang,” jelasnya yang juga merupakan alumni Universiti Sains Malaysia (USM).
Tambahnya, marah macam mana sekalipun, jangan pernah cuba untuk mencarut dan mencaci. Jika ada tempat yang perlu marah, tegurlah perbuatan dan kesilapan, bukan mencela orang yang dimarah.
“Sifat kita akan diwarisi. Mahukah kita mewarisi sifat buruk marah kita pada anak-anak?,” soalnya.
“Sebagai contoh, peperangan tidak akan dimenangi oleh orang yang marah tetapi akan dimenangi oleh orang yang mempunyai strategi. Jika kemarahan mengaburi diri, ia akan mengaburkan juga mata dan menutup pandangan dari strategi.
“Bak kata pepatah, orang tenang selalu menang manakala orang marah selalu kalah,” katanya.
Dr. Rozanizam Zakaria merupakan Pakar Psikiatri dan juga alumni USM daripada kursus Sarjana Perubatan (Psikiatri) tahun 2017.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 925