CELCOM SUMBANG RM1.92 JUTA KEPADA USM UNTUK PROGRAM EMPOWERNCER: AKADEMIK
Program ini (Program EmpowerNCER: Akademik) telah memasuki Fasa ke-2 yang melibatkan seramai 1,075 orang peserta (75 CSR USM) daripada 25 buah sekolah yang terdiri daripada pelajar tingkatan lima dari kesemua lima daerah di negeri ini.
USM PULAU PINANG, 14 Julai 2021 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM1.92 juta daripada Celcom Axiata Berhad (Celcom) untuk pelaksanaan Program EmpowerNCER: Akademik.
Program itu akan dilaksanakan oleh USAINS Group Holding Sdn. Bhd. (USAINS) dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) selepas diberi mandat oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Ia seiring dengan pencapaian USM sebagai universiti di kedudukan ke-39 dalam penarafan impak global Times Higher Education (THE) 2021.
Naib Canselornya, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, USM mengucapkan terima kasih kepada Celcom di atas sumbangan Kad SIM dan 10 unit komputer riba kepada peserta program dengan nilai keseluruhan tajaan sepanjang program itu sebanyak RM1.92 juta.
Katanya, selain itu, ucapan penghargaan turut diberikan kepada Celcom dan Malaysian Relief Agency (MRA) Pulau Pinang atas sumbangan barangan asasi kepada pelajar USM bernilai RM20,000.
Menurutnya, sumbangan sebegini dapat memberikan impak besar kepada masyarakat terutamanya golongan pelajar dan belia yang merupakan pelapis pemimpin negara pada masa hadapan.
“Program ini (Program EmpowerNCER: Akademik) telah memasuki Fasa ke-2 yang melibatkan seramai 1,075 orang peserta (75 CSR USM) daripada 25 buah sekolah yang terdiri daripada pelajar tingkatan lima dari kesemua lima daerah di negeri ini.
“Ini menjadikan jumlah peruntukan untuk kedua-dua fasa program ini sebanyak RM3.1 juta,” katanya.
Jelas Faisal Rafiq, sebanyak 1,075 unit tablet yang dilengkapi dengan Kad SIM telah mula diedarkan kepada kesemua peserta program di 25 buah sekolah di seluruh negeri Pulau Pinang bermula 12 Julai lalu.
Katanya, tablet yang dibekalkan lengkap dimuat naik dengan aplikasi-aplikasi yang sering digunakan bagi tujuan pembelajaran secara dalam talian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Sektor Awam Celcom, Mohd Hafizi Padely berkata, sumbangan daripada Celcom itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut dalam membantu bidang akademik negara ini.
Katanya, diharapkan sumbangan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin penuntut dalam sesi pembelajaran sekaligus menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk terus belajar.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop
- Created on .
- Hits: 1033