USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LANCAR PLATFORM INDIE@USM, DAHULUI USAHA ‘SELF-PUBLISHING’ DIGITAL IPTA TEMPATAN

Indie@USM merupakan platform swa-penerbitan yang pertama dilancarkan oleh sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia dan ini selari dengan moto USM iaitu ‘Kami Memimpin’.

USM PULAU PINANG, 19 Jun 2021 - Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan ‘Platform Self-Publishing’ atau Platform Swa-Penerbitan yang dinamakan E-Book Indie@USM selaras dengan perubahan pantas dunia penerbitan digital di negara ini.

IndieUSM.jpg

Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) USM, Profesor Dr. Abd Karim Alias berkata, platform yang mengambil masa selama setahun untuk dibangunkan ini akhirnya berjaya direalisasikan.

Menurutnya, selain format buku yang lazimnya dalam bentuk ‘hardcopy’, format berbentuk digital atau e-book semakin mendapat perhatian ramai dan konsep ‘self-publishing’ atau swa-penerbitan ini bukanlah satu bentuk yang baharu.

“Konsep ‘self-publishing’ bermaksud keseluruhan proses penerbitan dilakukan sendiri oleh pengarang, bermula dari penzahiran idea, penulisan, penyusunan, penyuntingan, sehinggalah proses pencetakan kulit buku, semunya adalah berdasarkan ‘Do It Yourself (DIY)’.

“Setelah selesai semua dalam bentuk ‘hardcopy’, penulis boleh terbitkan hasil penulisan secara ‘self-publish’ di platform digital seperti Indie@USM,” katanya dalam ucapan aluan ketika majlis perasmian platform berkenaan yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Abd Karim berkata, Indie@USM merupakan platform swa-penerbitan yang pertama dilancarkan oleh sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia dan ini selari dengan moto USM iaitu ‘Kami Memimpin’.

Katanya, pada masa ini, Indie@USM hanya mempunyai lebih kurang 40 judul e-book sahaja dan yakin ia akan terus bertambah dari semasa ke semasa.

“Saya berharap lebih ramai pengkarya akan menghantar karya mereka dan memasarkan e-book mereka di dalam platform ini.

“Mereka boleh mengedar e-book secara percuma atau boleh menjualnya dengan harga tertentu dan penulis akan menerima 60 peratus hasil jualan setiap buku,” katanya.

Sementara itu, Faisal Rafiq dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah atas usaha CDAE ini dan berterima kasih kerana terus menjadi pelopor dalam setiap bidang, sesuai dengan moto USM.

Katanya, beliau berharap usaha ini akan mendapat sambutan baik bukan sahaja dalam kalangan pengkarya dari USM, tetapi juga pengkarya-pengkarya di luar sana sekaligus menjadikan platform ini satu platform dikenali seluruh negara.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan laman web indiework.usm.my.

Teks dan Foto: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop

  • Created on .
  • Hits: 1128

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024