USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU KELUARGA ASNAF STAF DAN QARYAH USM

USM PULAU PINANG, 13 Julai 2021 - Pusat Islam USM melalui Sektor Zakat, Kecemerlangan Perkhidmatan dan Korporat telah menyerahkan bantuan kepada asnaf staf dan qaryah USM yang memerlukan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini.

Menurut Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman, bantuan diberikan dalam bentuk Kit Maidaturrahman iaitu kit ‘Keperluan Barangan Asas’.

“Pusat Islam juga menyambut baik permohonan Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis (ABrC) bagi tujuan disumbangkan kepada masyarakat yang amat memerlukan barangan asas dalam bentuk makanan asasi,” jelasnya.

Terdapat 2 sesi penyerahan Kit Maidaturrahman berlangsung pada 8 Julai iaitu yang pertama kepada Pengerusi Qaryah Surau A dengan jumlah kit sebanyak 53 buah manakala penyerahan kedua kepada Pengerusi Qaryah Surau E sebanyak 31 Kit Maidaturrahman.

Manakala pada 9 Julai pula, berlangsung penyerahan 30 Kit Maidaturrahman kepada Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis (ABrC) untuk golongan asnaf dan penyerahan 30 kit yang sama kepada Kampus Kejuruteraan untuk asnafnya.

Tambah Shukri, sepanjang pelaksanaan program ini, Pusat Islam USM telah berjaya menyumbangkan hampir 144 Kit Maidaturrahman kepada semua asnaf staf dan qaryah USM.

“Pelaksanaan PKP tidak menghalang Pusat Islam untuk terus membantu meringankan beban asnaf yang berada dalam kalangan staf USM dan juga asnaf qaryah USM walaupun suasana yang amat mencabar,” tegasnya.

Ujarnya lagi, adalah diharapkan Skim Bantuan ini dapat memberi manfaat sebaiknya kepada masyarakat yang sentiasa menabur bakti kepada USM dan juga ahli qaryah yang sentiasa memberi sokongan dari luar dan menghadiri majlis-majlis ilmu di Masjid Al-Malik Khalid ketika sebelum pandemik.

Pusat Islam USM juga terbuka untuk menerima sebarang permohonan daripada pelbagai pihak terutamanya Jabatan atau Pusat Pengajian USM untuk bersama-sama membantu meringankan beban asnaf melalui bantuan Kit Maidaturrahman.

“Terima kasih kepada mereka yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar zakat di Pusat Islam USM dan kerana sumbangan anda, golongan asnaf yang memerlukan dapat dibantu melalui agihan Kit Maiddaturrahman,” katanya.

Pusat Islam USM menyediakan Skim Bantuan Keluarga Asnaf Staf USM dan komuniti qaryah Masjid Al-Malik Khalid USM yang terjejas dalam tempoh PKP 3.0 dalam bentuk Agihan Kit Maidah Rahman (keperluan barangan asas).

Tujuan skim ini dijalankan adalah untuk membantu meringankan beban staf USM dan anak qaryah dari segi keperluan harian termasuk perbelanjaan keluarga yang ditanggung.

Permohonan boleh dibuat di sini: https://tinyurl.com/SKIMBANTUANASNAFUSM .

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah 

  • Created on .
  • Hits: 583

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024