USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ISU KESIHATAN MENTAL - TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA

USM PULAU PINANG, 12 Julai 2021 - Unit Kaunseling Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa terbuka dalam membantu pelajar yang memerlukan khidmat kaunseling di waktu yang mencabar ini.

Demikian dinyatakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi MPP USM hari ini.

MPP USM sentiasa komited dalam memastikan pelajar yang memerlukan khidmat ini diberikan motivasi untuk terus kekal berjuang dengan menjadi perantara antara pelajar dan Unit Kaunseling USM.

WhatsApp_Image_2021-07-11_at_10.22.44_2.jpeg

Dalam kenyataan tersebut juga, MPP USM memohon kepada semua sahabat-sahabat mahasiswa untuk terus melaporkan kepada Unit Kaunseling sekiranya mengetahui ada dalam kalangan rakan-rakan mereka yang merupakan pelajar USM yang mengalami sebarang masalah terutamanya melibatkan kesihatan mental.

Hal ini demikian kerana Unit Kaunseling dapat mengambil tindakan segera dan langkah pendekatan yang sesuai untuk membantu pelajar tersebut. Maklumat yang diberikan akan dirahsiakan.

Unit Kaunseling USM telah banyak membantu pelajar yang mempunyai masalah berkaitan sebelum ini dan di waktu pandemik ini secara berkolaborasi bersama MPP USM dalam memastikan pelajar yang memerlukan diberi bantuan yang sewajarnya.

Turut dimaklumkan, MPP USM juga akan sentiasa berhubung dengan pihak pentadbir dalam memastikan kesihatan mental para pelajar berada dalam keadaan baik dan MPP USM sentiasa prihatin dengan kesihatan mental setiap pelajar dengan mencadangkan pelbagai perkara berkaitan isu tersebut.

Pihak MPP USM turut merakamkan tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Penyelaras Program Intervensi Kaunseling USM (Pejabat Nerve Centre), Rohayati Daud dan Sekretariat Program yang sama, Mohd Faizal Md Osman dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), bersama pasukan sukarelawan yang terdiri daripada Kaunselor Berdaftar, para pensyarah PPIP dan pensyarah PP Sains Kemasyarakatan (PPSK), yang membantu menawarkan perkhidmatan, penasihatan, kaunseling dan sokongan psikososial kepada warga pelajar dan juga staf USM terutamanya petugas barisan hadapan yang memerlukan.

Perkhidmatan bantuan sokongan intervensi disediakan menerusi dua kaedah dinamik iaitu secara dalam talian (online) atau secara bersemuka bersama pasukan intervensi yang ditempatkan khas di lokasi desasiswa-desasiswa seluruh kampus dan beroperasi menerusi jadual tugasan mingguan.

Sumber asal: Laman rasmi Facebook Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM)/Suntingan: Tan Ewe Hoe 

  • Created on .
  • Hits: 883

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024