USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INDIE@USM PLATFORM WARGA USM MENERBIT DAN MEMASAR KARYA

USM PULAU PINANG, 11 Julai 2021 - Pelancaran platform swa-penerbitan (self-publishing) e-book baru-baru ini hasil daripada inisiatif Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) Universiti Sains Malaysia (USM) telah membuka lembaran baru untuk warganya berkarya di dalam talian.

Benarlah seperti kata-kata, “Rome was not built in a day”. Pada hari ini, Rome kami, iaitu platform self-publishing e-book yg dinamakan Indie@USM akhirnya menjadi kenyataan hasil usaha gigih selama hampir setahun.

IndieUSM.jpg

Begitulah kata-kata kesyukuran yang dizahirkan Pengarah CDAE, Profesor Dr. Abd Karim Alias yang menyifatkan dunia penerbitan sedang berubah dengan pantas selari dengan perkembangan arus digital kini.

Menurut Abd Karim, selain daripada buku dalam bentuk hardcopy, format buku dalam bentuk digital, atau e-book dan audio book semakin mendapat perhatian dan pasarannya semakin meningkat.

“Konsep self-publishing (atau swa-penerbitan) ini sebenarnya bukan suatu konsep yang baru; Amazon (yang sinonim dengan Jeff Besoz) merupakan antara perintis konsep self-publishing melalui platform Kindle Direct Publishing (KDP),” katanya ketika berucap secara maya.

Tambahnya, mungkin ramai yang kurang biasa dengan konsep self-publishing ini, dan secara ringkas, konsep self-publishing merujuk kepada proses yang mana keseluruhan proses penerbitan buku dilakukan sendiri oleh penulis/pengarang—iaitu bermula daripada penzahiran idea, penulisan, penyusunan, penyuntingan, proof-reading sehinggalah kepada perekabentukan kulit buku (book cover). Apabila buku telah siap sepenuhnya (dalam bentuk camera-ready), penulis akan menghantar kepada self-publishing platform seperti Amazon KDP ataupun Indie@USM.

“Konsep penerbitan secara bebas ini berbeza dengan konsep penerbitan buku secara traditional yang mana manuskrip buku akan melalui beberapa tahap penyuntingan yang mengambil masa yang agak panjang bagi menjamin kualiti buku yang tinggi. Konsep penerbitan bebas inilah yang dikenali sebagai ‘Indie’ (independent), seperti mana kita mendengar isitilah indie film, indie music, indie producer dan lain-lain,” jelasnya lagi.

Dengan kata lain, platform Indie@USM bukan bertindak sebagai penerbit traditional (seperti Penerbit USM) tetapi lebih kepada sebagai marketplace untuk memasarkan buku-buku oleh penulis indie. Indie@USM juga bukan suatu pesaing kepada Penerbit USM tetapi merupakan rakan perniagaan bersama Penerbit USM.

“Hasrat kami, Indie@USM akan menjadi suatu wadah (platform) kepada semua warga USM untuk berkarya dan menerbitkan hasil karya mereka dalam platform ini dan saya ingin menyeru semua masyarakat di luar sana juga untuk menghantar karya mereka dan memasarkan e-book mereka melalui Indie@USM.

“Mereka boleh mengedarkan e-book secara percuma atau boleh menjualnya dengan harga tertentu. CDAE bersama USAINS berharap usaha kecil ini juga dapat memberi sumbangan terhadap kelestarian kewangan USM,” ujarnya lagi.

Turut hadir bersama untuk pelancaran secara dalam talian itu adalah Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Presiden Jawatankuasa Tunku Khursiah College Old Girls Association (TKCOGA), Tan Sri Rafiah Salim; ketua-ketua jabatan USM, dan warga USM.

Maklumat lanjut boleh juga diperolehi melalui:

Platform E-Book Indie@USM di http://indiework.usm.my dan Rakaman Pelancaran melalui https://www.youtube.com/watch?v=AmLbLW4Ddg4

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah 

  • Created on .
  • Hits: 1677

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024