PAKAR E-PEMBELAJARAN KONGSI AMALAN, PENGALAMAN, HASIL PENYELIDIKAN DI ICOEL 2021
USM PULAU PINANG, 7 Julai 2021 - Persidangan Antarabangsa E-Pembelajaran (International Conference on E-Learning, ICOEL 2021) telah dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada 15 dan 16 Jun 2021 yang lalu secara maya dengan jayanya.
Persidangan dua hari itu bertujuan mengumpulkan ahli akademik, saintis, penyelidik dan sarjana terkemuka untuk berkongsi amalan, pengalaman dan hasil penyelidikan mereka mengenai pelbagai aspek e-Pembelajaran.
ICOEL 2021 yang bertemakan "Transcending Pandemic COVID-19: Emerging e-Learning Practices" telah menghimpunkan seramai 15 pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara yang merupakan pakar dalam e-Pembelajaran. Seramai 48 peserta telah menyertai persidangan secara maya selama dua hari itu.
Persidangan tersebut merupakan antara aktiviti utama yang diadakan sempena International University Carnival on E-Learning (IUCEL) edisi ke-21 yang dianjurkan secara maya oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Majlis E-Pembelajaran IPTA dan Universiti Utara Malaysia pada 15 dan 16 Jun 2021.
Sebagai mengenang jasa Allahyarham Profesor Dr. Hanafi Atan, mantan Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE), USM yang telah banyak menyumbang bakti dalam pembangunan e-Pembelajaran dalam dunia pendidikan di negara ini, beliau telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas ‘Higher Education E-Learning Maestro Award (Individual)’.
Selain itu, berikut disenaraikan pemenang yang telah memperoleh kejayaan semasa ICOEL 2021:
2 pemenang masing-masing 1 Emas dan 1 Perak bagi pertandingan ‘Invention, Innovation & Design on e-Learning (IIDEL)’
EMAS - Prof. Madya Dr. Jamalsafri Saibon (Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan); Hati Buddy Land: Maze Runner + Microlearning. Enhancing Knowledge and Awareness of Bullying Amongst Students
PERAK - Dr. Thaigarajan Parumasivam (Pusat Pengajian Sains Farmasi); A Fair Assessment of Soft Skills: An Integration of Peer Evaluation and Technology During Pandemic
1 Pemenang gangsa bagi kategori ‘PIP-Teacher Competition’
GANGSA - Dr. Siti Mastura Baharudin (Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan); Effectiveness of LMS-Schoology on Students Virtual Art Creative Thinking Skill
Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) yang berperanan sebagai sekretariat dan penyelaras di peringkat USM amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan persidangan yang buat julung kali diadakan secara maya ini.
Maklumat lanjut berkenaan ICOEL 2021 boleh diperolehi melalui pautan icoel.usm.my .
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 641