USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA USM-JKM: KEPAKARAN MODIFIKASI KERUSI RODA BANTU PERTINGKAT KUALITI HIDUP OKU

TANAH MERAH, KELANTAN, 5 Julai 2021 – Kepakaran dalam mengubahsuai kerusi roda mengikut spesifikasi dan keperluan pesakit oleh Unit Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan(PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) memberi manfaat kepada masyarakat, melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan.

WhatsApp_Image_2021-07-09_at_01.01.13.jpeg

Ketua Unit Transformasi OKU, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, projek kali ini agak istimewa kerana ia adalah kes pertama yang dirujuk oleh JKM dan menguji sistem perkhidmatan modifikasi kerusi roda yang diperkenalkan oleh Unit Transformasi OKU, melalui Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda USM. 

WhatsApp_Image_2021-07-09_at_01.01.14.jpeg

"Sistem perkhidmatan modifikasi kerusi roda USM bermula dari penilaian ke atas pesakit, konsultasi dan pemilihan kerusi roda, modifikasi kerusi roda, “fitting’ sehingga latihan penggunaan kerusi roda. 

“Saya telah dihubungi oleh pihak JKM pada 18 Mei lalu memaklumkan berkenaan kes Norazlinda Deraman dan pada keesokan hari, pasukan saya terus ke rumah beliau untuk membuat penilaian secara keseluruhan seperti latar belakang keluarga, tahap keupayaan pesakit serta faktor persekitaran untuk membantu kami menentukan spesifikasi kerusi roda yang bersesuaian dengan keadaan dan persekitaran beliau," ujarnya.

Tambah Mohd Zulkifli, pesakit merupakan seorang OKU fizikal yang mengalami kelemahan otot sejak lahir pada bahagian kaki tetapi dari segi intelektual, beliau boleh berfikir seperti individu normal yang lain. 

"Disebabkan kelemahan otot, beliau hanya mampu merangkak di dalam rumah dan dengan cara merangkak, beliau melakukan semua aktiviti menguruskan diri dan melakukan kerja-kerja rumah. 

"Susun atur dapur dan sinki telah diubahsuai oleh keluarga beliau sendiri untuk membolehkan beliau berdikari di dalam rumah.

"Bagaimanapun, Norazlinda tidak mampu melakukan aktiviti di luar rumah dan hanya keluar dari rumah bila ada temujanji hospital sahaja, dengan bantuan keluarga terutama kakak ipar beliau," jelasnya lagi.

Menurut Mohd Zulkifli, kerusi roda yang dibekalkan adalah sumbangan dari JKM setelah mendapat ‘recommendation’ dari Unit Transformasi OKU. 

"Pemilihan spesifikasi kerusi roda adalah berdasarkan penilaian oleh Jurupulih Perubatan Carakerja, dengan mengambil kira keadaan fizikal Norazlinda, faktor persekitaran dan kegunaan kerusi roda tersebut.  

"Seterusnya, modifikasi dan pengubahsuaian dilakukan bagi memastikan kerusi roda tersebut menepati keadaan fizikalnya. Norazlinda dan keluarga juga akan diberikan latihan agar mampu menggunakan kerusi roda dengan cekap dan selamat," katanya.

Jelas Mohd Zulkifli lagi, melalui geran penyelidikan Knowledge Transfer Programme (KTP) dan Malaysian Research University Network (MRUN), USM telah mewujudkan Bengkel Modifikasi Khas Kerusi Roda USM serta menghasilkan modul latihan penggunaan kerusi roda.

“Pasukan kami bukan hanya melakukan pengubahsuaian kerusi roda semata-mata, tetapi kami juga akan memberikan latihan kepada pesakit cara-cara penggunaan dan fungsi setiap bahagian kerusi roda yang telah diubahsuai sehingga pesakit betul-betul mahir menggunakan kerusi roda dengan lancar dan selamat. 

"Kami juga menilai keperluan lain seperti memberi cadangan kepada pihak yang berkaitan apakah bentuk modifikasi di dalam dan di luar rumah bagi memberikan akses penggunaan kerusi roda pesakit di rumah,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah JKM Negeri Kelantan, Said Sidup menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada USM khususnya Unit Transformasi OKU, PPSK yang bekerjasama dalam merealisasikan hasrat JKM untuk menyediakan kerusi roda khas kepada Norazlinda.

WhatsApp_Image_2021-07-09_at_01.01.13_2.jpg

“Adalah diharapkan dengan kerusi roda khas ini, beliau dapat meneruskan hidup dengan lebih baik dan tidak lagi mengharapkan orang sekeliling semata-mata untuk membantu beliau terutamanya dalam aktiviti di luar rumah.

“Sebelum ini JKM memang telah memberikan sumbangan kerusi roda kepada beliau, walau bagaimanapun kerusi roda tersebut hanya membantu dalam pergerakan asas dan agak susah untuk digunakan terutama jika beliau perlu mendapatkan rawatan di hospital. 

"Apabila JKM mendapat tahu keadaan beliau, kami merujuk kepada Unit Transformasi OKU, kerana USM mempunyai kepakaran dalam proses modifikasi kerusi roda mengikut keperluan pesakit dan apabila melihat hasilnya hari ini, saya sangat berpuas hati,” ujarnya.

Beliau yang ditemui di rumah Norazlinda semasa sesi penyerahan kerusi roda tersebut amat mengharapkan agar kerjasama antara USM dan JKM akan berterusan untuk manfaat masyarakat yang memerlukan khususnya golongan OKU.

“Saya sangat mengharapkan kejayaan bersama USM ini menjadi pembuka jalan kepada kerjasama dengan mana-mana pihak sama ada organisasi awam, swasta mahupun konglomerat dalam membantu golongan OKU dan mereka yang memerlukan bukan sahaja dari aspek sumbangan barangan makanan, keperluan harian malahan apa juga bentuk sumbangan untuk disalurkan bagi kelangsungan hidup mereka," jelasnya.

Untuk rekod, projek Modifikasi Khas Kerusi Roda USM ini merupakan hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara USM dan Rajanagarindra Institute of Child Development (RICD) pada tahun 2012 hasil inisiatif Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM bagi menyahut seruan kerajaan dalam usaha melengkapi hak keistimewaan OKU. 

Projek ini bermula apabila Mohd Zulkifli menerima Geran KTP dari Kementerian Pelajaran pada tahun 2014. Maka dengan adanya geran ini, Pasukan Kerusi Roda USM-RICD telah diwujudkan pada tahun 2014 dan kini pusat kerusi roda USM telah mempunyai bengkel baik pulih kerusi roda sendiri. 

Pada tahun 2019, Mohd Zulkifli dianugerahkan geran MRUN yang membolehkan Unit Transformasi membina modul latihan kepada pengguna kerusi roda dan sehingga kini, seramai 571 OKU telah menerima manfaat hasil dari program tersebut.

Semoga kerjasama di antara JKM dan USM dalam menangani kes OKU Norazlinda ini menjadi contoh dan membuka peluang kepada lebih ramai golongan OKU mendapat manfaat dari kerjasama sebegini.

WhatsApp_Image_2021-07-09_at_01.01.13_1.jpeg

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Moo

  • Created on .
  • Hits: 616

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024