USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM TERUS KOMITED BERSAMA KERAJAAN JAYAKAN PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN

PULAU PINANG, 3 Julai 2021 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus komited dan teguh bersama kerajaan dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan wabak COVID-19 di negara ini melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Kejayaan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) termasuk secara pandu lalu di Hospital USM, Kubang Kerian, Kelantan pada bulan Mac yang lalu seterusnya  pembukaan PPV USM di Kampus Induk serta PPV Sains@Bertam, Kepala Batas pada 18 Jun yang lalu, menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan oleh warga kerja USM bagi membantu mencapai sasaran imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

Dengan kemudahan dan infrastruktur lengkap dimiliki USM, ditambah dengan penglibatan staf dan pelajar menjadi anggota sukarelawan di ketiga-tiga PPV itu memudahkan usaha kerajaan untuk meningkatkan jumlah penerimaan vaksin harian rakyat Malaysia.

WhatsApp_Image_2021-07-04_at_15.31.27.jpeg

WhatsApp_Image_2021-07-04_at_15.28.29_2.jpeg

Pada sesi lawatan delegasi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi melihat sendiri operasi yang dijalankan di PPV@USM kampus induk, Presidennya, Tuan Haji Adnan Mat berkata, beliau amat menghargai usaha yang dilaksanakan oleh USM terutamanya warga stafnya yang secara sukarela bersama-sama kerajaan menjayakan PICK ini.

WhatsApp_Image_2021-07-04_at_15.34.06.jpeg

“Saya bagi pihak CUEPACS ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi terima kasih kepada pucuk pimpinan USM, Naib Canselor, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan serta warga gerak kerjanya atas penawaran untuk membuka PPV di USM ini, sebagai salah satu pusat pemberian vaksin di bawah program imunisasi kebangsaan yang telah pun ditubuhkan di seluruh negara,” kata beliau.

WhatsApp_Image_2021-07-04_at_15.36.20.jpeg

Adnan menambah, sudah tentu penglibatan staf USM memberi makna dan menjadi contoh kepada penjawat-penjawat awam lain, kerana penglibatan dalam operasi harian pusat vaksin ini bukan sahaja menunjukkan komitmen penjawat awam dalam menjalankan amanah, tetapi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap program imunisasi, yang menjadi agenda utama kerajaan buat masa ini.

“Sebab itulah pihak CUEPACS menyambut baik pusat pemberian vaksin ini dibuka sendiri oleh USM dan pengoperasiannya dikendalikan sepenuhnya oleh warga USM sendiri mengikut kemampuan sedia ada.

“Apa yang lebih membanggakan, selain keseluruhan operasi adalah dikawalselia staf-staf USM, ia turut dibantu oleh 165 orang pelajar USM yang menjadi anggota sukarelawan sepanjang tempoh PPV di USM, dan kerjasama seperti ini patut dicontohi oleh semua penjawat awam yang lain,” jelas beliau lagi.

usm34

Selain itu beliau turut berharap kerajaan dapat membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada penjawat-penjawat awam selain barisan hadapan yang terlibat sebagai sukarelawan di PPV-PPV seluruh negara, bagi mengelakkan risiko jangkitan terhadap mereka yang berhadapan dengan masayarakat luar setiap hari.

Pada majlis yang sama, Faisal Rafiq berkata, USM sentiasa berdiri teguh dan menyokong apa jua hasrat murni kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menerima vaksin dengan lancar seterusnya imunisasi kelompok dapat dicapai pada tahun ini.

WhatsApp_Image_2021-07-04_at_15.29.39.jpeg

“Gerak kerja USM yang terdiri daripada staf dan pelajar akan sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik buat masyarakat yang dipilih menerima vaksin di PPV ketiga-tiga kampus melalui temujanji pada aplikasi MySejahtera, dan usaha ini diharap dapat meringankan beban kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi agar rakyat di negara ini kembali pulih kepada kehidupan normal,” jelas beliau lagi.

Sebagai maklumat, sejumlah 165 staf USM terlibat sebagai anggota sukarelawan bagi menjayakan program imunisasi COVID-19 di PPV kampus induk manakala 68 orang staf di PPV Sains@Bertam dari pelbagai peringkat termasuk akademik, pentadbiran dan sokongan.

IMG 0076

Sejak bermula operasi pada 18 Jun 2021 sehingga 2 Julai 2021, PPV@USM telah menerima bekalan vaksin jenis Sinovac, dengan jumlah sebanyak 4,298 di kampus Induk dan 2,200 di PPV Sains@Bertam.

Yang turut hadir adalah Pendaftar USM, Dr. Musa Ali; Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin; Pengerusi CUEPACS Negeri Pulau Pinang, Mohd Zaidi Said; Presiden Kesatuan Kakitangan Am USM, Ahmad Rizwan Zulkharnain; Setiausaha Agung Kesatuan Kakitangan Am USM, Nor Amin Ahmad dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa, Ebrahim Abdul Manan & Shahnizam Ab Rahim  

  • Created on .
  • Hits: 894

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024