USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANTARA TANGGUNGJAWAB SEBAGAI PELAJAR DAN KERINDUAN TERHADAP KELUARGA

USM KUBANG KERIAN, 1 Julai 2021 – Berkelana dari Borneo ke negeri Kelantan sejak tahun 2016 menjadikan beliau seorang yang berdikari dan tegar biarpun jauh dari keluarga tercinta. 

Namun akhir-akhir ini, kesedihan mula menyinggah tatkala kerinduan terhadap keluarga mendasari ruang hati.

Annabelle Shin Mei Kong, 24, dari Kota Kinabalu, Sabah berkongsi pengalaman sepanjang menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).

WhatsApp_Image_2021-07-04_at_00.09.17.jpg

Beliau merupakan pelajar Tahun Akhir Program Pengajian Ijazah Doktor Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM.

“Saya ingatkan saya kuat, tetapi hakikatnya saya juga seperti rakan-rakan yang lain, sedih, kecewa dan adakalanya agak tertekan dengan situasi yang perlu kami hadapi sepanjang pandemik COVID-19 melanda.

“Rutin harian berubah 100% kerana COVID-19 yang mana kami tidak boleh mengikuti sesi pembelajaran seperti biasa, apatah lagi bagi saya pelajar tahun akhir perubatan, sesi pembelajaran lebih banyak secara praktikal berbanding teori yang memerlukan saya bertemu dengan pesakit,  membantu merawat pesakit sama ada di klinik mahupun di dalam wad. 

"Kalau sebelum ini kami boleh bertemu pesakit secara rawak, tetapi dalam keadaan sekarang, pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipatuhi demi menjaga keselamatan kedua-dua belah pihak iaitu pesakit dan pelajar sendiri," ujarnya.

Beliau yang ditemui selepas menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), Hospital USM di sini, teruja kerana penantian untuk mendapatkan vaksin akhirnya berakhir.

Menurut Annabelle, pengesahan pemberian vaksin yang diterima menerusi aplikasi MySejahtera memberikan kelegaan kepada beliau dan rakan-rakan yang selama ini memang mengharapkan suntikan tersebut sebagai salah satu cara mengekang jangkitan COVID-19 terutama apabila mereka perlu melaksanakan sesi klinikal bersama pesakit bagi memenuhi keperluan pembelajaran agar dapat menamatkan pengajian dalam masa yang telah ditetapkan. 

“Sekarang saya boleh menarik nafas lega sebab telah mendapat vaksinasi sebagaimana keluarga saya di Sabah dan saya semakin bersemangat untuk terus belajar dan menikmati hidup sebagai pelajar di Kampus Kesihatan di samping mempersiapkan diri untuk menduduki peperiksaan akhir pada bulan September nanti dengan harapan saya dapat menamatkan pelajaran dan pulang ke Kota Kinabalu untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat di sana sebagai seorang Pegawai Perubatan yang bertauliah," jelasnya lagi.

Sebagai seorang Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUSM), Annabelle bertanggungjawab menjaga kebajikan para pelajar yang berada di dalam kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dilanda COVID-19 Mac 2020. 

Keprihatinan dan semangat kesukarelawanan beliau banyak membantu rakan-rakan pelajar yang lain khususnya pelajar baharu dalam mengharungi cabaran dan situasi pembelajaran norma baharu.

“Suka saya nasihatkan rakan-rakan yang berada di dalam kampus agar tidak menganggap apa yang kita hadapi sekarang ini sebagai satu halangan, kita bukan terkurung di dalam penjara, kita masih diberi ruang untuk beriadah, melakukan akvititi yang bersesuaian, masih boleh keluar mendapatkan barangan keperluan tetapi perlu mematuhi SOP yang telah digariskan serta sentiasa menjaga keselamatan diri,” ujar beliau lanjut.

Bagi Annabelle, menjalani pengajian tahun akhir di saat wabak bahaya ini melanda merupakan satu cabaran dan juga peluang untuknya lebih bersedia dengan segala situasi serta risiko perubatan dan perawatan pesakit apabila bertugas di lapangan yang sebenar.

Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, PPSP, Profesor Madya Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin yang turut berada di SPPV menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengurusan Universiti yang telah berusaha mendapatkan vaksin untuk pelajar tahun akhir.

“Bagi pihak universiti saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) kerana membekalkan vaksin ke SPPV Hospital USM dalam konteks peluasan skop suntikan kepada pelajar klinikal tahun akhir yang mana mereka perlu menjalani sesi klinikal bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan akhir dan seterusnya menamatkan pengajian,” katanya.

Seramai 204 pelajar tahun akhir program Ijazah Doktor Perubatan, Ijazah Doktor Pergigian, Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dan Diploma Kejururawatan menerima suntikan vaksin dos pertama seawal jam 9.00 pagi.

WhatsApp_Image_2021-07-04_at_00.09.17_1.jpg

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, bersama kita mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilancarkan sejak Mac lalu.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 582

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024