USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENGEKALKAN HARAPAN SEMASA PANDEMIK COVID-19  

network_600-100837132-large_1608415809.jpg

Jun 2021 - Dalam keadaan di mana kes COVID-19 masih tinggi dan kita mungkin tidak dapat kembali kepada kehidupan biasa dalam waktu terdekat, ianya adalah normal untuk berasa risau, cemas dan murung.

Tidak mengapa jika anda tidak berasa OK, tetapi penawar kepada semua perasaan negatif ini adalah harapan.

Mempunyai harapan bermaksud berasa positif tentang masa hadapan. Harapan mendorong kita mengambil tindakan proaktif. Tindakan ini akan membawa kepada lebih banyak harapan.  

Terdapat strategi untuk mempunyai harapan yang lebih tinggi semasa menghadapi cabaran hidup. Ahli psikologi mengesyorkan beberapa cara.

Pertamanya adalah mengenal pasti kesukaran yang sedang dialami. Akuilah hakikat bahawa kita memang sedang mengharungi satu cabaran hidup yang belum pernah terjadi sebelumnya, dan kita telah berusaha sedaya upaya untuk mengatasinya. Dengan menerima hakikat ini, barulah kita dapat bergerak ke hadapan. 

Perkara seterusnya adalah meneliti keadaan anda dan mengenal pasti aspek positif dalam kehidupan anda.

Tidak mungkin semua aspek dalam kehidupan anda adalah teruk buat masa ini. Anda mungkin masih mempunyai pekerjaan, kelas, dan keluarga serta rakan untuk berbicara. Matahari masih bersinar di luar pintu anda. Terus bersandar pada pemikiran indah ini.  

Penting juga untuk mengubah cara kita berfikir. Pandemik ini mungkin akan memakan masa yang lebih panjang untuk berakhir tetapi ia akan berlalu akhirnya.

Fikirkan apa yang akan dapat anda lakukan ketika itu. Tindakan ini tidak semestinya besar seperti merancang kerjaya masa hadapan. Ianya mungkin sesuatu yang mudah seperti minum teh tarik di Subaidah bersama rakan-rakan anda.

Bayangkan semua perkara kecil dan menggembirakan yang anda boleh lakukan selepas pandemik ini berakhir. Hal ini akan menyemarakkan harapan dan keyakinan dalam diri anda.  

Kita juga perlu terus menjalani kehidupan seperti biasa dan kekal berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan.

Hal ini dapat membantu anda berasa lebih positif tentang keadaan anda sekarang, seterusnya mendorong anda untuk lebih optimistik di masa depan.  

Untuk rujukan tambahan:

https://www.hmetro.com.my/sihat/2020/12/654997/kekal-positif-sepanjang-pandemik

https://www.self.com/story/how-to-be-hopeful

https://www.mentalhealthfirstaid.org/external/2021/01/stay-hopeful-during-covid-19/

Teks: From the Psychologist’s Desk  https://www.usm.my/index.php/covid19/coping-and-thriving-during-covid-19#from-the-psychologist-s-desk

  • Created on .
  • Hits: 1258

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024