USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEKAL SIHAT SELEPAS TERIMA SUNTIKAN VAKSIN WALAUPUN DI USIA LEBIH 120 TAHUN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Jun 2021 – “Alhamdulillah, saya diberi kesihatan yang baik selepas menerima suntikan vaksin dos pertama pada 9 Jun lalu dan syukur masih lagi sihat untuk datang menerima suntikan dos kedua pada hari ini,” demikian kata seorang wanita warga emas berusia lebih 120 tahun, Siti Liah Mamat.

WhatsApp_Image_2021-07-02_at_06.38.35.jpeg

 

Menurutnya, beliau tidak mengalami sebarang masalah kesihatan selepas divaksinasi dan proses suntikan ke atasnya mengambil masa yang singkat.

“Hari ini suntik vaksin pun sekejap sahaja dan saya tidak perlu masuk ke dewan (Pusat Pemberian Vaksin Khas – SPPV) kerana jururawat datang cucuk di kereta.

“Saya berharap orang ramai terutama golongan warga emas seperti saya tidak meletakkan pandangan negatif mengenai suntikan vaksin kerana ia akan menjejaskan pendirian seseorang untuk mendapatkan suntikan ini," katanya.

Siti Liah yang berusia lebih satu abad turut menyeru mereka yang belum menerima suntikan vaksin agar segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan tidak perlu takut untuk mendapatkan vaksin sebagai pelindung diri memandangkan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Sementara itu, Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim ketika ditemui pemberita, menyifatkan wanita warga emas berkenaan sebagai individu yang dikenal pasti memenuhi kriteria antara 84 orang penerima vaksin secara pandu lalu di SPPV Hospital USM pada hari ini.

“Alhamdulillah, kaedah yang digunakan cukup sesuai untuk kes-kes sebegini dan kebetulan pada hari ini merupakan rezeki nenek Siti Liah untuk menerima vaksin dos kedua secara pandu lalu yang cukup memudahkan.

“Kaedah ini lebih lancar berbanding proses pemberian vaksin dos pertama yang mana pesakit perlu dikonsultasi terlebih dahulu. Bagi dos kedua ini, hanya perlu mendaftar dan membuat pengesahan identiti sahaja sebelum menerima suntikan.

“Jadi, proses suntikan vaksin dos kedua hanya mengambil masa yang singkat dan sekiranya tiada sebarang masalah semasa tempoh pemerhatian, penerima akan dibenarkan pulang,” ujarnya.

Tambah Sukari, SPPV Hospital USM bertanggungjawab untuk memberi suntikan vaksin kepada semua pesakit yang berdaftar dengan Hospital USM dan pesakit luar yang dirujuk oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Komuniti serta menepati kriteria selepas pemeriksaan (pre-vaccination assessment, PVA) oleh Pegawai Perubatan di mana-mana klinik atau fasiliti rawatan di USM.

“Antara kriteria yang ditetapkan ialah berumur 60 tahun ke atas atau berumur 18 hingga 60 tahun dengan penyakit kronik dan berisiko tinggi sekiranya diberi vaksin di PPV Komuniti. 

“Pendaftaran vaksin boleh dibuat dengan Pegawai Perubatan (doktor) di mana-mana klinik di Hospital USM dan panggilan temujanji suntikan akan dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera penerima,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, SPPV Hospital USM telah memberi suntikan vaksin kepada 2,067 orang penerima sejak mula beroperasi pada 25 Mei lalu.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 511

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024