SUNTIKAN VAKSIN KURANGKAN GUSAR PELAJAR KLINIKAL TAHUN AKHIR TERLIBAT PERAWATAN PESAKIT
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Jun 2021 - Di tahun akhir pengajian dalam musim pandemik sebegini, memang meresahkan pelajar terutama mereka yang berada di tahun akhir pengajian dan terlibat dalam membantu merawat pesakit sepanjang sesi klinikal bagi memenuhi tuntutan silibus pengajian.
Namun hari ini, kegusaran itu sedikit demi sedikit dapat diredakan apabila mereka diberi suntikan vaksin bermula hari ini.
Seramai 204 pelajar tahun akhir Ijazah Doktor Perubatan, Ijazah Doktor Pergigian dan Diploma Kejururawatan menerima suntikan vaksin dos pertama apabila Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) buat pertama kali membekalkan vaksin kepada Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital USM dalam konteks peluasan skop kepada pelajar dalam bidang klinikal yang memerlukan mereka ke klinik atau wad, terutama bagi mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19.
Pelajar Ijazah Doktor Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Syamil Mohd Daud, 24, melahirkan rasa gembira apabila diberi peluang menerima suntikan vaksin dos pertama di SPPV Hospital USM hari ini.
"Akhirnya penantian kami berakhir dan saya sangat teruja menerima suntikan vaksin hari ini kerana inilah yang sangat diharapkan memandangkan sebagai pelajar tahun akhir, pengajian bidang perubatan memerlukan kami untuk mambantu pegawai perubatan merawat pesakit di klinik serta wad dan ianya sangat membimbangkan kerana pelbagai risiko yang perlu kami hadapi.
“Selama ini bila perlu melakukan pemeriksaan ke atas pesakit semasa sesi klinikal, saya dan rakan-rakan sangat risau kerana virus COVID-19 bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh, malahan kita juga tidak mengetahui situasi pesakit itu sendiri menyebabkan kerisauan sentiasa membelenggu diri.
“Namun selepas mendapat suntikan, saya lebih positif dan yakin untuk berhadapan pesakit sepanjang sesi klinikal bagi memastikan keperluan pengajian saya dapat dipenuhi sebelum menduduki peperiksaan akhir pada bulan September nanti.
“Terima kasih kepada pengurusan Kampus Kesihatan USM yang telah berusaha mendapatkan bekalan vaksin dan setinggi-tinggi penghargaan kepada JKNK yang membekalkan vaksin, memenuhi keperluan kami bagi memastikan sesi latihan klinikal kami tidak terjejas,” ujar beliau yang ditemui selepas menerima suntikan.
Syamil turut mengharapkan agar semua pelajar USM menyahut seruan kerajaan menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.
Sementara itu, Pelajar Diploma Kejururawatan tahun akhir, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Ahmad Asyraf Abdul Rahman, 25, turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Universiti dan JKNK atas usaha menyediakan bekalan vaksin kepada pelajar-pelajar tahun akhir yang terlibat dengan klinikal di Kampus Kesihatan.
“Sebagai pelajar yang terlibat secara langsung dengan pengurusan perawatan pesakit, saya sangat berterima kasih kepada pengurusan Kampus Kesihatan dan Hospital USM kerana berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin kepada kami pelajar tahun akhir yang perlu menjalani sesi klinikal bagi memenuhi keperluan bidang pengajian dan membolehkan kami menduduki peperiksaan akhir seterusnya menamatkan pengajian," jelasnya.
Beliau yang telah berada di dalam kampus sejak Mac 2020, mengambil keputusan untuk terus berada di dalam kampus biarpun diberi kelonggaran untuk pulang berhari raya sebelum ini.
“Saya berasal dari Selangor yang mana kita semua tahu di sana zon merah sejak sekian lama, dan saya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah demi menjaga keselamatan diri dan keluarga biarpun hati sangat merindui keluarga terutama pada hari raya yang lalu kerana itu merupakan tahun kedua saya menyambut Hari Raya Aidilfitri berjauhan dari keluarga kerana pandemik yang masih berleluasa sekarang ini," katanya lagi.
Menurut Asyraf, beliau sendiri terkesan dengan keadaan sekarang bila mana tidak dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini sehinggakan pernah menghadapi tekanan perasaan namun syukur kerana tidak berlarutan.
“Saya yakin semua pelajar agak tertekan dan sedih malahan ada juga yang patah semangat dengan keadaan sekarang kerana tidak dapat menikmati kehidupan sebagai seorang pelajar yang penuh dengan pelbagai aktiviti bukan sahaja akademik malahan aktiviti sosial yang lain seperti bersukan, beriadah dan menganjurkan pelbagai program bersama rakan-rakan.
"Saya sendiri terpaksa membuatkan diri saya sentiasa sibuk dengan hal-hal pelajaran dan pada sebelah petang saya lebih gemar berjoging di sekitar kampus untuk mengelak daripada rasa bosan serta tertekan,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong dan memperkasakan usaha Kerajaan untuk mencapai sasaran 80% imuniti kelompok (herd immunity) menerima suntikan vaksin bagi memastikan penularan serta lekuk kes jangkitan COVID-19 di Malaysia dapat dilandaikan.
Teks: Lailatul Hafiza Abdu Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 597