USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESEJAHTERAAN SOSIAL PERLU DATANG DARI QALBU

 usmpersidangan

KUALA LUMPUR, 21 Mei -- Kesejahteraan sosial harus datang dari pembangunan yang berteraskan qalbu dengan berpaksikan kepada usaha yang holistik yang melibatkan hubungan horizontal antara manusia dengan alam, alam dan kehidupan lainnya dan hubungan manusia dengan Tuhan.

Prof. Ulung Tan Sri Kamal Hassan berkata pendekatan yang holistik dari segi horizontal dan vertical penting untuk difahami kerana usaha dalam pembangunan kesejahteraan sosial ini seharusnya datang dari hati yang ikhlas dan suci.

Jelasnya, cabaran sebenar ialah  untuk mencapai keseragaman definisi dan indeks kesejahteraan masyarakat yang dihajati yang sewajarnya berpandu kepada indeks pembangunan insan yang  juga mendekati hubungan manusia dengan Tuhan yang malangnya jarang diberikan perhatian.

Beliau bercakap dalam Sidang Pleno bertajuk Kepimpinan Pengajian Tinggi dan Masyarakat Sejahtera Isu dan Cabaran yang turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dato' Omar Osman, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita dan Kemajuan Masyarakat Dato' Seri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM Dr Nor Malina Malek dan Timbalan Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi Dr. Zainal Abidin Sanusi.

Terdahulu ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi dan Kesejahteraan Sosial: Merealisasikan Transformasi Ke Arah Masyarakat Sejahtera, Pengerusi Lembaga Penasihat AKEPT Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid Wan Noordin menyeru agar universiti sentiasa mendengar pandangan dari luar khususnya masyarakat bagi memastikan ia terus relevan dengan proses transformasi negara, apatah lagi ia harus memainkan peranan sebagai menara ilmu, bukan lagi menara gading.

"Dengan fokus transformasi negara yang lebih menjurus kepada kesejahteraan sosial dan mewujudkan masyarakat yang sejahtera, maka usaha ini amat penting dilakukan bersama-sama" kata Wan Zahid.

Seminar dua hari itu dianjurkan oleh Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Majlis Profesor Negara bersama-sama AKEPT dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, disertai oleh lebih 250 orang peserta dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pertubuhan-pertubuhan sukarela dan wakil dari pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia. Sebanyak 48 kertas kerja dibentangkan dalam Konvensyen kali kedua ini.

Tambah Wan Zahid,  dalam kerangka yang sama, agenda perpaduan nasional perlu dijalankan berterusan dan bukan mengikut musim atau keadaan semasa dengan memastikan pendidikan berperanan dalam menyelesaikan isu perpaduan dengan fikiran yang seimbang dan waras tanpa melibatkan ketegangan atau menyentuh sensitiviti antara kaum.

Wan Mohd Zahid juga menggesa cerdik pandai dalam pendidikan supaya menganalisis kandungan 107 memorandum berkaitan pendidikan yang diserahkan kepada kementerian pelajaran sebelum ini.

Memorandum hasil dialog dengan 12,000 ahli masyarakat yang diadakan pada Julai tahun lalu itu perlu dijadikan referendum bagi memastikan tuntutan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara sentiasa dipenuhi.

Dalam sidang pleno yang sama, Naib Canselor USM, Prof Dato Omar Osman  berkata seseorang pensyarah perlu menjadi model kepada aspirasi nasional apatah lagi dalam konteks kesejahteraan masyarakat.

"USM misalnya menjadi universiti pertama melaksanakan konsep kampus sejahtera dan percaya bahawa kesejahteraan hanya dapat diwujudkan melalui penekanan kepada konsep keikhlasan yang  lahir dari hati dan nurani yang suci yang tanpanya maka tidak dapat mencapai apa yang dihasratkan," kata Omar.

Jelasnya lagi, USM sentiasa berusaha untuk memastikan konsep kesejahteraan itu dapat disepadukan di dalam apa jua aktiviti yang dibuat termasuk acara-acara sukan dan rekreasi dan aktiviti sosial lainnya termasuk dalam usaha menzahirkan perpaduan pelbagai kaum.

Sementara itu dalam forum khas sempena Konvensyen Kebangsaan ini yang bertajuk  Transformasi Kesejahteraan Sosial: Agenda Universiti, Presiden Persatuan Pekerja Sosial Malaysia Teo Ai Hua berkata, adalah penting untuk universiti melahirkan pekerja sosial yang mempunyai pengetahuan, ilmu tentang bidang yang berkaitan di samping kemahiran dalam mengupas masalah, mencari penyelesaian dan dapat menghakupaya pelanggan dalam mengambil tindakan untuk kesejahteraan masyarakat.

"Ilmu pengetahuan dan kemahiran perlu disepadukan melalui satu nilai termasuk dalam menghormati orang lain dan memastikan tidak ada golongan yang tercicir," kata Teo.

Beliau juga meminta agar pekerja sosial yang dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi memiliki nilai dan keupayaan global untuk dihantar ke negara-negara luar di samping berupaya melakukan pemindahan ilmu dan kemahiran untuk tujuan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Dato' Azman Amin Hassan bersetuju dengan pandangan peserta bahawa terdapat keperluan untuk ahli-ahli politik khususnya wakil rakyat untuk mengikuti kursus atau program khas yang berkaitan dengan perpaduan nasional.

"Cadangan seperti ini pernah dibuat dan usaha-usaha untuk melaksanakannya mempunyai banyak cabaran, namun bukanlah mustahil untuk laksanakan," kata Azman.

Selain dari Teo dan Azman, turut serta dalam forum khas ini ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Nor Tipah Majin dan Timbalan Dekan Perhubungan Akademik Universitas Jember Indonesia.

Konvensyen Kebangsaan itu ditutup dengan rasmi oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Dr. Nor Malina Malek.  Lima sidang selari turut diadakan sepanjang Konvensyen ini berlangsung.  Teks/Foto: Mohamad bin Abdullah.




  • Created on .
  • Hits: 2392

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024