USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERUSKAN USAHA MARTABATKAN BAHASA MELAYU DI THAILAND

USM PULAU PINANG, 5 Jun 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Webinar Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu dengan tema “Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Thailand: Fenomena dan Isu”, pada 27 Mei yang lalu.

Webinar yang dikelolakan oleh Unit Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu (UPPBM) di bawah Pusat Pengajian Ilmu KemanusiaanUSM itu bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu di Thailand, seterusnya ke peringkat dunia.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Narimah Samat ketika berucap merasmikan webinar berkenaan berkata, terdapat lima universiti di Thailand yang menawarkan program pengajian Bahasa Melayu sebagai kursus major.

WhatsApp_Image_2021-06-29_at_10.53.16.jpg

“Universiti-universiti tersebut adalah Thaksin University, Prince of Songkhla University (Kampus Pattani), Princess of Naradhiwas University, Fatoni University dan YalaRajabhat University.

Selain itu, terdapat beberapa universiti seperti Ramkhamhaeng University, Julalongkorn University, Thammasat University, Songkhla Rajabhat University, Rajamangala University of Technology Srivijaya (kampus Songkhla) dan Walailak University yang menawarkan Bahasa Melayu sebagai kursus minor atau elektif,” katanya.

Tambah Narimah, ini jelas menunjukkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Thailand amatlah rancak, mekar dan subur. Dan kerancakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Thailand itu sesungguhnya amat bermanfaat dan mustahak kepada interaksi Malaysia-Thailand sekali gus memperkukuh tali silatulrahim antara rakyat kedua-dua buah negara berjiran itu.

Beliau turut berkongsi bahawa UPPBM USM juga sudah mengambil inisiatif dan usaha proaktif melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Fatoni University dan Thaksin University bagi menjalin kerjasama dengan Jabatan Bahasa Melayu kedua-dua buah universiti berkenaan.

WhatsApp_Image_2021-06-29_at_10.53.40.jpeg

“Harapan kami, melalui MoU ini, lebih banyak usahasama pengantarabangsaan BahasaMelayu dapat diadakan di masa hadapan.

“Kepada universiti-universiti lain di Thailand yang ada menawarkan bahasa Melayu sebagai program pengajian, pihak USM mengalu-alukan mereka untuk mengadakan kerjasama dalam hal-hal yang berkaitan dengan Bahasa Melayu melalui penandatanganan MoU dengan USM,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP), Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran berkata, DBP mengucapkan tahniah atas penganjuran webinar ini dalam memartabatkan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Katanya, DBP sentiasa menyokong usaha sebegitu dan akan terus membantu usaha ke arah memartabatkan Bahasa Melayu dan memperluaskan penggunaannya di pelbagai peringkat.

Turut serta dalam upacara perasmian webinar secara dalam talian itu adalah Rektor Fatoni University, Thailand, Profesor Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya dan Penyelaras UPPBM USM, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong.

Pada masa ini, Bahasa Melayu yang mempunyai jumlah penutur yang tertinggi di dunia sekitar 199 juta orang, adalah bahasa antarabangsa yang merentasi sempadan, bangsa dan tamadun meletakkannya sama penting dengan bahasa-bahasa besar di dunia seperti bahasa Rusia, Arab, Sepanyol, Hindi, Inggeris dan Mandarin.

Teks & Foto: Mohamad Hafiz AsyrafMohdArop

  • Created on .
  • Hits: 819

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024